Rabu, 4 Ogos 2010

Minda rakyat perlu dimerdekakan

Mohd Ali Hashim

SEBERANG JAYA: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyarankan supaya minda rakyat dimerdekakan terlebih dahulu daripada terus dikongkong sebelum erti kemerdekaan sebenar dapat dihayati dan diresapi dalam sanubari.

Beliau juga berkata minda rakyat perlu dimerdekakan dari dizalimi dan disekat oleh hanya satu pandangan yang diseragamkan sebelum ianya dapat mencapai tahap kemerdekaan sebenar.

"Kemerdekaan bukan sekadar kita bebas dari penjajah atau dalam lain ertikata laungan 'Merdeka' sahaja. Namun begitu apa yang perlu dihayati ialah maksud kebebasan dan kemerdekaan bagi memisahkan diri dari ideologi personal, mencabar diri secara intelektual untuk melihat sesuatu isu secara menyeluruh demi mencapai penyelesaian sebenar untuk manfaat semua pihak.

"Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-53 maka adalah diharap rakyat dapat bangkit sebagai satu bangsa bermaruah yang memiliki kekuatan politik dengan didokong oleh penguasaan ilmu bagi mempercepatkan pembangunan negeri, negara dan bangsa keseluruhannya," katanya.

Lim berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri di perkarangan Sunway Carnival Mall, di sini baru-baru ini.

Tiada ulasan: