Selasa, 17 Ogos 2010

MCA, Gerakan diminta kotakan janji di kubur Teoh

Siah Chong Yan

Keluarga Teoh Beng Hock dilaporkan amat tidak berpuas hati dengan perkembangan inkues bagi menentukan kematian pembantu politik itu dan menunutut suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan.

Adiknya, Teoh Lee Lan, sehubungan itu mendesak pemimpin MCA dan Gerakan untuk mengotakan janji-janji mereka bagi menumbuhkan suruhanjaya berkenaan.

“Janji-janji itu dibuat di kubur Beng Hock; satu hari nanti kami mahu anda memenuhinya.

“Presiden MCA, Ong Tee Keat, timbalannya Liow Tiong Lai, dan presiden Gerakan Koh Tsu Koon, semasa memberi penghormatan terakhir mereka, tahun lalu menyatakan sokongan agar suruhanjaya diraja ditubuhkan. Saya telah mengesahkannya dengan mereka dan mereka menyatakan sokongan kepada kami,” katanya.

Lee Lan berkata demikian pada forum 'Ketidakadilan untuk 1 tahun: Apa kata anda, rakyat Malaysia' yang dianjurkan menerusi kempen 'Rakyat Malaysia bersama Beng Hock' bersama CRC-KLSCAH malam semalam.

Bercakap kepada kira-kira 200 hadirin, Lee Lan melahirkan rasa kecewanya kerana MCA dan Gerakan tidak pernah menjemput keluarga Teoh untuk menghadiri sebarang upacara perkabungan ataupun forum.

Beliau memohon rakyat supaya bangkit dan menuntut keadilan untuk Beng Hock dan membantu agar kejadian seumpama itu yang berlaku kepada abangnya tidak berulang kepada rakyat lain.

“Adakah anda mahu melihat seorang lagi saksi mati secara misteri?” soalnya.

Seorang lagi penceramah pada malam semalam, Haris Ibrahim, meminta rakyat memakai kemeja-T 'Malaysians for Beng Hock' pada setiap Sabtu bagi meluahkan sokongan mereka kepada keluarga Teoh dan juga tanda protes ke atas ketidak-adilan kerajaan BN.

“Ini bagi memberi mesej yang jelas bahawa rakyat tidak dapat menerima ketidak-adilan. Rakyat adalah ketua dan mereka mampu membawa perubahaan,” kata Haris.

Ng Yap Hwa, yang menganjurkan forum itu juga meminta rakyat Malaysia mengambil cuti sehari esok bagi menghadiri inkues esok dengan memakai kemeja-T khas itu sebagai tanda sokongan kepada pakar patologi Thai, Dr Pornthip dan Teoh.

Tiada ulasan: