Isnin, 16 Ogos 2010

Mayat ketua RELA ditemui tepi rel

BERNAMA


Timbalan Ketua Angkatan Relawan Rakyat (Rela) Pasir Mas Harun Abdullah, 62, yang hilang sejak Jumaat lepas ditemui mati di tepi landasan keretapi di Tumpat, malam tadi.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tumpat ASP Mohd Azmi Mohd Ali berkata mayat Harun ditemui lengkap berpakaian dan berdasarkan keadaan mayat, dia dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian sejak dua hari lepas.

"Mayatnya ditemui kira-kira pada pukul 9 malam oleh orang awam dan ketika ditemui mayatnya telah berulat.

"Tiada kesan kecederaan dan tiada senjata ditemui di tempat kejadian. Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata laporan mengenai kehilangan Harun dibuat oleh anggota keluarganya petang Jumaat lepas apabila dia tidak pulang ke rumah di Kampung Kubang Laka, Jalan Meranti selepas keluar untuk membeli akhbar.

Mayatnya dihantar ke Hospital Kelaboran di sini untuk bedah siasat, katanya.


Tiada ulasan: