Sabtu, 14 Ogos 2010

MAS setuju pelan pembangunan Kampung Baru MB Selangor

Setiausaha Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi bersetuju dengan cadangan pelan alternatif pembangunan Kampung Baru oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, baru-baru ini.

Beliau berkata, kesediaan Khalid yang tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin diharapkan dapat memberi kebaikan kepada penduduk Melayu dan pembangunan Kampung Baru.

“Kedua-dua pihak itu memberikan cadangan yang baik untuk pembangunan Kampung Baru dan dilihat pemimpin pada masa kini lebih terbuka serta peka untuk berbincang bersama penduduk terlebih dahulu sebelum melaksanakan pembangunan.

“Cadangan Khalid baik dan dilihat beliau berusaha memartabatkan dan mengiktiraf kedudukan MAS dalam pembangunan Kampung Baru. Ini kerana MAS banyak memberikan sumbangan kepada penduduk sejak ia ditubuhkan hampir 110 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Pelan Pembangunan Kampung Baru dibentangkan Abdul Khalid, baru-baru ini.

Menurut beliau, pihaknya mengharapkan MAS diberikan peluang untuk berfungsi dalam pelan pembangunan Kampung Baru akan datang kerana selama ini, MAS memberikan kerjasama kepada menteri, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penduduk.

Sementara itu, Kabinet meluluskan cadangan untuk menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang akan bertanggungjawab untuk melaksana dan menyelia pelan pembangunan semula di kawasan itu.

Shamsuri berkata, beliau ingin tahu di mana akan diletakkan MAS dalam Perbadanan itu.

Terdahulu, Kerajaan Selangor mencadangkan penubuhan Kampung Baru Land Trust (KBLT) sebagai pelan alternatif pembangunan Kampung Baru, di mana tanah akan ditukar kepada unit saham tanpa mengira lokasi tanah.

Setiap pemilik tanah akan mendapat dua jenis saham menerusi tabung tersebut iaitu A yang membenarkan pemilik menjual tanah kepada orang Melayu dan Bumiputera, sementara B dinilai mengikut potensi pendapatan daripada ruang penyewaan hasil pembangunan dirancang. -SH

Tiada ulasan: