Jumaat, 27 Ogos 2010

Maria Tunku Sabri fail rayuan

BERITA HARIAN ONLINE

KUALA LUMPUR: Personaliti TV3, Maria Tunku Sabri, memfailkan rayuan di kaunter Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap keputusan mahkamah yang menolak samannya terhadap ahli perniagaan, Datuk Wan Johani Wan Hussin.

Saman itu difailkan Maria yang mendakwa Wan Johani mengingkari penyelesaian perjanjian pembayaran pampasan RM5.5 juta selepas dikatakan gagal menunaikan janji untuk mengahwininya.

Pada 30 Julai lalu, Mahkamah Tinggi menolak dengan kos tuntutan saman RM5.5 juta Maria terhadap Wan Johani berhubung pelanggaran perjanjian untuk berkahwin dengannya.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Yusof, membuat keputusan itu dalam kamarnya dengan alasan Maria masih bersuami ketika perjanjian dibuat dan sekali gus menyebabkan kontrak yang dibuat itu bersifat pramatang dan tidak sah.

Peguam yang mewakili Wan Johani, Akhbardin Abdul Kader, ketika ditemui di luar mahkamah berkata, keputusan Zabariah itu dibuat mengikut Seksyen 14 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 yang menyatakan wanita Islam tidak boleh berkahwin lain selagi perkahwinan sedia adanya masih wujud.

“Selain kuasa talak berada di tangan suami, mana-mana wanita Islam yang ingin diceraikan perlu mengikut prosedur sama ada menerusi cerai fasakh atau talak. Tetapi kedua-duanya perlu dirujuk kepada undang-undang Syariah.

“Jadi permohonan Maria sebelum ini untuk mendengar semula samannya tidak lagi sah selepas mahkamah membuat keputusan bahawa Maria tiada kapasiti berhubung permohonan itu,” katanya.

Pada 2004, Maria yang dikenali menerusi program ‘Jalan-Jalan Cari Makan’ memohon dikuatkuasakan perjanjian antara Wan Johani dan beliau untuk membayarnya RM5.5 juta kerana Maria tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan itu selepas enggan mengahwininya seperti dijanjikan.

Maria sebelum ini mendakwa Wan Johani mengingkari penyelesaian perjanjian pembayaran pampasan RM5.5 juta kerana tidak berkahwin dengannya.

Dalam pembelaannya, Wan Johani, menafikan wujud sebarang kontrak dan mendakwa perjanjian itu tidak sah serta ada unsur ugutan dan pujukan.

Tiada ulasan: