Isnin, 2 Ogos 2010

Mansuh Semua Akta Sekat Kebebasan – Ku Li


b0f8bbf62705ad2a00b2b4fbe099f041 FREE MALAYSIA TODAY

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah menggesa agar akta-akta Parlimen yang disalahgunakan, tidak adil, sekaligus bertentangan dengan kebebasan yang pernah dikecapi rakyat sewaktu kemerdekaan 53 tahun lalu, dimansuhkan.

Beliau berkata, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, AKta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 merupakan bentuk akta yang menyekat kebebasan rakyat, namun seringkali disalahgunakan untuk melindungi kepentingan individu tertentu.

Tengku Razaleigh yang dikenali sebagai Ku Li berkata, "saya mengajak saudara menyertai saya mendesak supaya ISA dan OSA dihapuskan. Undang-undang zalim ini, lebih banyak digunakan sebagai alat politik daripada sebagai alat untuk keselamatan negara. Akta-akta ini mewujudkan suasana ketakutan.

"Saya juga mengajak saudara menyertai saya mendesak supaya Akta Mesin Cetak dan lebih-lebih lagi, Akta AUKU dimansuhkan," katanya pada Sidang Kemuncak Para Pemimpin Pelajar Malaysia Tahunan ke 4 di sini semalam

"Saya tidak nampak bagaimana saudara boleh bergerak dengan bebas dan menyatakan sokongan di UK dan Eire dan pada masa yang sama melupakan nasib saudara-saudara kita di sini yang dinafikan hak asasi yang asas terhadap persatuan dan menyatakan pendapat oleh Akta AUKU.

"Akta AUKU telah meruntuhkan kebebasan di universiti-universiti di tanah air," katanya di depan lebih 1,000 perwakilan pelajar.

Beliau menekankan, politik kotor yang memainkan unsur perkauman sempit juga menyekat hak dan kebebasan rakyat untuk terus maju dalam bidang tertentu.

Politik kotor berunsur perkauman sempit

Situasi ini juga katanya, "amat berbeza jika dibandingkan keadaan semasa Tanah Melayu menuntut kemerdekaan daripada British dimana semua kaum mampu bersatu melalui semangat Perikatan demi memenuhi syarat yang ditetapkan semasa kita dijajah."

"Hari ini kita tidak lagi bersatu padu. Kita kurang bebas. Saya tidak fikir ini secara kebetulan. Kekuatan psikologi memerlukan kebebasan untuk mengatasi fahaman sempit dalam tasawwur perkauman.

"Manusia yang bebas juga diperlukan untuk menyahkan ahli-ahli politik yang bergayut pada kuasa yang memainkan sentimen perkauman dalam kehidupan kita termasuk dalam pasukan bolasepak," katanya.

Justeru itu, beliau mencadangkan agar Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada pelbagai parti komponen mengikut kaum ditukarkan menjadi sebuah parti yang terdiri daripada pelbagai kaum, selaras dengan aspirasi semangat 1Malaysia.

Cadangannya itu juga turut ditujukan kepada PR jika tidak mahu ketinggalan dalam memenangi hati rakyat.

"Biar parti itu bergerak di atas landasan pelbagai kaum. PR juga terpaksa berbuat demikian jika tidak mahu ditinggalkan oleh masa. Dengan itu, kita mempunyai sistem dua parti, tidak berdasarkan kaum.

Jika Umno, MCA dan MIC takut kehilangan penyokong maka biar ahli-ahli mereka menyertai parti berbagai kaum. PR harus melakukan perkara yang sama.

"Kita boleh mengekalkan persatuan-persatuan orang ramai, walau cara mana kita berpersatuan. Tapi kita harus mengenepikan fahaman perkauman apabila kita bertanding di peti undi.

"Apabila calon-calon kita bertanding untuk pilihan raya, biar mereka bertanding sebagai rakyat Malaysia, sama ada ianya baik atau buruk," terang beliau.

Tiada ulasan: