Rabu, 11 Ogos 2010

Mahkamah tolak permohonan ESQ cabar fatwa


esq Oleh Qayum Rahman

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak permohonan syarikat ESQ Leadership Sdn Bhd mencabar fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan bahawa kursusnya haram untuk umat Islam.

Hakim Datuk Zawawi Salleh berkata, keputusan penolakan tersebut adalah kerana mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan fatwa dan hal ehwal Islam.

Beliau berkata, hakim mahkamah tinggi juga tidak mempunyai kepakaran melibatkan fatwa dan perkara itu sepatutnya dirujuk di Mahkamah Syariah.

Peguam Abu Bakar Jasi yang mewakili ESQ mempersoal proses fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti tersebut kerana tidak mengikut prosiding undang-undang yang ditetapkan.

"ESQ menfailkan permohonan ini adalah untuk mendapat kepastian bagaimana proses fatwa dilakukan dan bukan mencabar fatwa terbabit.

"Mufti tidak menunjukkan bahawa fatwa itu telah mendapat kelulusan Yang DiPertuan Agong sebelum ianya diwartakan.

"ESQ hanya menyoal mengenai proses fatwa dan sepatutnya ia dibenarkan dibicarakan di Mahkamah Sivil," katanya ketika berhujah di mahkamah tersebut.

Abu Bakar berkata, keputusan penolakan permohonan itu akan dibincangkan bersama pihak ESQ untuk di bawa ke Mahkamah Syariah.

Pertikai proses fatwa cuma alasan

Peguam Pak Wan Chik Marican mewakili Mufti berkata, fatwa yang dikeluarkan adalah mengikut hukum syarak dan ianya perlu dihormati dan dipatuhi.

"Umat Islam khususnya, tidak boleh mencabar fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti kerana semua mufti di negara ini mempunyai hak untuk mengeluarkan fatwa dan fatwa itu tidak boleh dipertikaikan.

"Jika perkara ini dibenarkan dibicarakan di Mahkamah Tinggi, ia akan memberi kesan buruk terhadap mahkamah syariah.

"Sememangnya pihak pendakwa perlu menfailkan permohonan di mahkamah syariah dan bukannya di mahkamah ini," jelasnya.

Peguam Negara yang diwakili oleh Suzana Atan dan Mohamad Naser Disa menyokong hujah yang dinyatakan oleh peguam Pak Wan Chik kerana ia berlandaskan hukum syarak yang perlu dituruti dalam agama Islam.

Suzana berkata, ESQ sengaja menggunakan alasan mempertikai proses fatwa semata-mata untuk membatalkan fatwa yang telah diwartakan.

"Kita tahu bahawa proses yang dipertikaikan adalah hanya alasan untuk membatalkan fatwa itu.

"Keputusan hakim adalah tepat dan ia berlandaskan bidang kuasa yang ditetapkan untuk menolak permohonan itu," katanya.

Tiada ulasan: