Jumaat, 27 Ogos 2010

Mahathir tulis surat nasihat Najib soal ekonomi

KUALA LUMPUR — Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang pro-Bumiputera, diperkenalkan awal 1970-an, sambil menafikan dasar itu menjadi penghalang kepada pertumbuhan.

Malah bekas perdana menteri itu mengakui yang beliau ada menulis kepada Datuk Seri Najib Razak menawarkan nasihat khususnya tentang Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan kepimpinan baru.

Fasa pertama sudah pun dikemukakan oleh Najib.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata, beliau tidak mengharapkan yang Perdana Menteri tidak akan mempertimbangkan syor-syornya.

“Saya sudah pun menulis kepada komen-komen saya. Saya juga ada menulis kepada (Datuk Seri) Idris Jala (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

“Saya ada memberi pandangan saya, terserah kepada mereka untuk mempertimbangkan nasihat saya atau tidak. Ia hanya pandangan saya,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan kempen derma Viva Palestina Malaysia (VPM) di Masjid Negara di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata beliau akan terus memberikan pendapatnya terhadap isu-isu semasa negara tetapi ia terpulang kepada mereka yang terlibat sama ada untuk mendengar atau tidak.

“Negara ini telah mengalami pertumbuhan jauh lebih cepat daripada negara membangun lain, jadi tidak boleh kata yang DEB satu halangan,” katanya.

Dr Mahathir menekankan bahawa beliau tiada masalah politik dengan Najib tetapi hanya memberi pandangan kritis mengenai perkembangan Umno dan beberapa pembaharuan yang dibawa Perdana Menteri atas kapasiti sebagai rakyat jelata.

“Setiap orang ada kelemahan dan Perdana Menteri melakukan yang terbaik tetapi saya hanya memberikan pandangan saya mengenai isu-isu yang saya tidak bersetuju.

“Saya dengar beliau mahukan maklum balas rakyat tentang bajet. Saya juga rakyat biasa,” katanya.

Bajet 2011 akan dibentangkan pertengahan Oktober ini.

Dr Mahathir kelihatan kritikal mengenai pentadbiran Najib dan Umno dalam kenyataa-kenyataan kebelakangan ini sambil berpendapat bahawa parti pemerintah lemah dan tidak diuruskan dengan baik.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata tidak salah Malaysia menyatakan protes terhadap tindakan sekumpulan rakyat Indonesia yang menghina Jalur Gemilang di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta baru-baru ini.

Sambil menyifatkan penunjuk perasaan itu sebagai garang, katanya, mereka merupakan kumpulan kecil yang diupah untuk melakukan perkara tersebut.

“Kita boleh protes tapi tak payah buat macam mereka buat. Mereka terlalu garang. Kita tidak buat macam itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Indonesia masih merupakan sahabat kepada Malaysia.

Tindakan melampau penunjuk perasaan itu yang membakar serta meludah Jalur Gemilang serta melempar najis di kedutaan Malaysia, kononnya marah terhadap Malaysia yang mereka dakwa tidak menghormati Indonesia.

Provokasi itu dipercayai berpunca daripada maklumat tidak tepat yang dilaporkan di republik tersebut berhubung peristiwa penahanan nelayan Malaysia oleh pihak berkuasa Indonesia dan penahanan tiga pegawai republik itu oleh polis marin Malaysia di perairan berhampiran Penggerang, Johor pada 13 Ogos lepas.

Pelbagai kalangan di Malaysia memandang serius kejadian menghina Jalur Gemilang dan meminta pihak berkuasa Indonesia mengambil tindakan mengawal keadaan itu.

Tiada ulasan: