Rabu, 18 Ogos 2010

Mahasiswa berpolitik: Pemuda PAS tetap mahu serah memo 23 Ogos


KUALA LUMPUR— Dewan Pemuda PAS Pusat akan tetap menemui Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah pada 23 Ogos ini bagi membicangkan kewajaran mahasiswa membincangkan idea membolehkan penglibatan mahasiswa dalam politik tetapi bukan dalam tempoh terdekat.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat Azman Shapawi Abdul Rani, pertemuan itu akan tetap diadakan pada tarikh tersebut dan sekiranya Saifuddin tiada satu memorandum akan diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

“Kita akan tetap pergi menemui beliau pada 23 Ogos ini bagi membincangkan kewajaran mahasiswa terlibat dalam politik.

“Kerana kita lihat penglibatan mahasiswa dalam berpolitik amat penting berdasarkan kepada pengetahuan dan kematangan mereka.

“Selain itu, ramai juga di kalangan mahasiswa ini sudah boleh jadi pemilih,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Beliau berkata secara dasar Saifuddin bersedia mengadakan pertemuan dengan Pemuda PAS menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Kita sudah hantar surat kepada Saifuddin pada 16 Ogos lalu memberitahu akan datang menemui beliau di pejabatnya.

“Tapi sehingga kini beliau masih belum memberi respon tapi saya dimaklumkan bahawa beliau memang bersetuju untuk menemui kita,” katanya.

Sebelum ini Saifuddin berkata bersedia mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak — sama ada pertubuhan politik atau bukan politik bagi membincangkan idea membolehkan penglibatan mahasiswa dalam politik tetapi bukan dalam tempoh terdekat.

Saifuddin berkata tarikh tentang pertemuan itu hanya akan diketahui kemudian, bukannya pada 23 Ogos ini seperti yang dicadangkan oleh Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Al-Tantawi.

Ahli Parlimen Temerloh itu juga sebelum ini melahirkan idea itu dijangka membawa isu berkenaan ke mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 27 Ogos ini.

Saifuddin berkata sudah tiba masanya Akta Universiti dan Kolej Universiti dikaji semula bagi membolehkan mahasiswa terlibat dalam politik.

Dalam sidang yang sama, Azman Shapawi berkata Dewan Pemuda PAS Pusat akan melancarkan kempen “Tandatangan Bantah Saman Ekor” pada Isnin depan.

“Kita akan adakan kempen ini pada 23 Ogos depan di Bazar Ramadan Pasar Keramat bagi mengumpul tandatangan daripada masyarakat.

“Kita juga akan gerakkan kempen ini di seluruh negara dan sasarkan sebanyak sejuta tandatangan sehingga Aidilfitri sebelum serahkannya kepada kerajaan,” katanya.

Sebelum ini Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang diketuai Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar telah dilancarkan 2 Ogos lalu dalam usaha PAS membela nasib mereka yang menjadi mangsa saman ekor.

Tiada ulasan: