Selasa, 24 Ogos 2010

Lingam, dua bekas ketua hakim dibenar semak laporan suruhanjaya diraja


PUTRAJAYA — Mahkamah Rayuan membenarkan peguam kontroversi Datuk V.K. Lingam dan dua bekas ketua hakim negara untuk mengemukakan permohonan semakan penghakiman berhubung laporan Suruhanjaya Diraja Siasatan 2007 yang menyiasat peranan mereka dalam dakwaan melobi pelantikan hakim.

Panel Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud, Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus dan Datuk Zaharah Ibrahim mendengar hujah Lingam semalam.

Dua perayu lain ialah Tun Eusoff Chin dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Panel mengumumkan keputusan majoriti 2-1.

Tengku Baharudin dan Zaharah menyokong permohonan itu manakala Mohd Hishamuddin menolak.

Tengku Baharudin berkata Mahkamah Tinggi telah salah tafsir soal perundangan ketika menolak permohonan perayu.

“Keputusan majoriti ialah membenarkan rayuan dan kebenaran diberikan kepada perayu,” katanya.

Dalam permohonannya, Lingam meminta Mahkamah Rayuan menyemak hasil penemuan yang terkandung dalam laporan suruhanjaya itu yang mendapati beliau telah melakukan kesalahan jenayah.

Lingam (gambar) berkata walaupun tidak pernah didakwa, reputasinya telah tercemar dengan teruk, oleh itu, mengikut Perlembagaan Persekutuan, beliau berhak melindunginya.

Panel itu mendengar rayuan Lingam dan Ahmad Fairuz dan Eusoff berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka supaya dibenarkan membuat semakan kehakiman terhadap penemuan suruhanjaya itu.

Pada 12 Disember 2008, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penemuan suruhanjaya tu tidak boleh disemak atau dicabar kerana ia bukan satu keputusan, dan ia tidak memberi kesan terhadap hak individu atau obligasi mereka yang terbabit.

Dalam penemuannya, panel lima anggota suruhanjaya itu mendapati klip video yang menunjukkan Lingam sedang bercakap dengan Ahmad Fairuz mengenai pelantikan hakim, adalah tulen.

Surahanjaya itu memperakukan agar tindakan sewajarnya dikenakan terhadap enam individu iaitu Lingam, Ahmad Fairuz, jutawan Tan Sri Vincent Tan, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Eusoff kerana salah laku.

Suruhanjaya itu juga mendapati ada bukti yang cukup bagi menyiasat keenam-enam individu mengikut Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan Kanun Keseksaan dan Akta Profesion Undang-undang 1976.

Kecuali Dr Mahathir, lima yang lain mengemukakan permohonan agar mahkamah mengadakan semakan semula supaya hasil penemuan suruhanjaya itu dibatalkan.

Bagaimanapun, Tan dan Tengku Adnan telah menarik balik rayuan mereka berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada awal tahun ini.

Pesuruhjaya berkenaan iaitu pengerusi Tan Sri Haidar Mohd Noor, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas Peguam Cara Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim — bersidang selama 17 hari untuk menyiasat klip video 14 minit itu.

Tiada ulasan: