Rabu, 18 Ogos 2010

LHDN mendedahkan maklumatnya dipalsukan sindiket antarabangsa


HASMAH ABDULLAH Oleh Qayum Rahman

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendedahkan sindiket antarabangda memalsukan maklumat menerusi laman internet untuk dengan menipu pelanggan lembaga itu.

Ketua Pengarah LHDN Tan Sri Hasmah Abdullah berkata, beberapa rangkaian penipuan antarabangsa menghantar email kepada pelanggan dengan menyatakan mereka akan mendapat jutaan ringgit selepas memberi maklumat akaun perbankan internet masing-masing.

Menurutnya, pada 21 julai lalu hingga 17 ogos 2010 pihak LHDN menerima aduan orang ramai berkaitan penipuan email dari laman web ‘taxrefunds@hasil.gov.my" berkaitan lebihan cukai sebanyak RM 700 dan RM 2812.49 akan dikembalikan kepada pelanggan LHDN.

"Pulangan kewangan melalui email itu adalah penipuan dan ianya juga tidak pernah dihantar oleh pihak LHDN kepada pelanggan.

"Email tersebut dihantar oleh pihak tertentu untuk mengambil kesempatan ke atas urusan bayaran balik lebihan cukai kepada pelanggan LHDN dengan menggunakan nama LHDN,"katanya.

Beliau berkata, sebanyak 217 kes telah dilaporkan kepada LHDN terhadap penipuan melalui internet sehingga hari ini yang melibatkan pembayar cukai berdaftar dan juga orang awam yang tidak berdaftar dalam LHDN.

"Jumlah kerugian mangsa sindiket palsu LHDN masih belum dipastikan kerana hingga hari ini kita masih menerima aduan yang melibatkan pelanggan LHDN.

"Rangkaian jenayah siber ini telah disiasat dan didapati berpengkalan di Amerika Syarikat dan Nigeria.

"Modus operandi penjenayah siber ini adalah pelanggan akan diminta ke laman web palsu LHDN untuk menyertakan maklumat akaun peribadi melalui akuan CIMB dan Public Bank.

"Jika arahan diikuti, pelanggan tanpa disedari akan mendedakkan maklumat kewangan dan seterusnya penjenayah siber ini akan menggunakan maklumat tersebut untuk mengeluarkan wang simpanan pelanggan,"ujarnya.

Katanya, pelanggan LHDN yang mendapat email demikian perlu segera menghubungi LHDN dan juga pihak polis untuk memastikan penipuan ini terus disekat.

"LHDN pada 17 Ogos 2010 telah membuat laporan polis berkaitan penipuan ini untuk meminta pihak polis mengesan jenayah siber ini.

"LHDN berharap pelanggan dan orang ramai akan peka terhadap pendedahan penipuan ini supaya tidak akan ada lagi mangsa penipuan,"jelasnya.

Hasmah bagaimanapun memberi jaminan bahawa segala transaksi elektronik melalui laman web rasmi LHDN serta setiap data dan maklumat pembayar cukai yang berada dibawah simpana LHDN adalah selamat.

Tiada ulasan: