Jumaat, 20 Ogos 2010

Lagi pengacara "dipancung" ...kini giliran stesen radio 98.8

Lim Hong Siang

Pengacara rancangan call-in "Say Hi to Malaysia" di stesen radio 98.8, Jamaluddin Ibrahim terpaksa "digugurkan" dari rancangan pada hari ini, lantaran daripada "tekanan politik". Jamaluddin diarahkan oleh stesen 98.8 untuk "mengambil cuti" mulai hari ini, dan tarikh tamatnya tempoh cuti ini masih tidak diketahui.

Dengan kata lain, pengacara keturunan Melayu yang terkenal dengan kefasihannya untuk bertutur dalam bahasa Cina ini, terpaksa menyusul jejak langkah pengamal media elektronik sebelum ini, termasuk Joshua Wong, Chou Z Lam dan Tan Ean Nee untuk mengundur diri.

Suara Jamaluddin Ibrahim (gambar kanan) tidak lagi kedengaran dalam rancangan pada pagi ini, yang berlangsung antara jam 8 hingga 10 pagi, dari Isnin ke Jumaat jikalau mengikut kebiasaan. Dua orang pengacara yang lain, Wong Chew Yat dan Joe Liaw gagal menahan sebak ketika mengumumkan bahawa Jamaluddin Ibrahim tidak lagi bersama dengan mereka di udara mulai hari ini.

Berikutan daripada pengumuman tersebut, stesen 98.8 telah dibanjiri dengan ribuan sms, dan deringan panggilan telefon yang tidak henti-henti pada pagi ini. Masing-masing menyatakan ketidakpuasan mereka ekoran daripada "tekanan" yang ditujukan kepada Jamaluddin, sehingga beliau terpaksa digugurkan.

Naik turunnya Jamaluddin

Jamaluddin Ibrahim, muncul sebagai pemerhati politik yang terkemuka di masyarakat Cina selepas "tsunami politik" pada 8 Mac 2008. Rata-rata tertarik dengan kefasihan beliau bertutur dan menulis dalam bahasa Cina, lantas diundang untuk menjadi panelis dalam forum dan kolumnis di media bahasa Cina.

Kemudian, Jamaluddin menjadi tumpuan media bahasa Cina dengan analisanya yang tajam ketika mengulas pemilihan parti MCA pada tahun 2008. Beliau kemudiannya menyertai 98.8, menjadi pengacara untuk mengulas isu hal ehwal semasa dalam rancangan Say Hi to Malaysia, mulai Mei 2009.

Stesen 98.8 merupakan salah satu saluran radio yang dimiliki oleh syarikat Star Rfm Sdn Bhd, anak syarikat kepada Star Publications (M) Bhd. MCA menguasai Star Publications melalui sayap pelaburan parti, iaitu Huaren Holdings.

Bagaimanapun, Jamaluddin mencungkil beberapa pertikaian terutamanya ketika perebutan kuasa antara sekta Ong Tee Keat (gambar kiri, kanan) dengan Chua Soi Lek (gambar kiri, kiri). Beliau dilihat menyebelahi Ong Tee Keat ketika memberi komentar, dan keadaan ini mengundang ketidakpuasan daripada sekta Chua Soi Lek dan Ong Ka Ting.

Justeru itu, selepas Chua Soi Lek terpilih sebagai Presiden MCA baru pada Mac 2010, Jamaluddin menjadi tumpuan ramai - sama ada Chua Soi Lek akan "memancungnya" atau tidak. Chua Soi Lek pernah menegaskan bahawa dirinya tidak akan campur tangan dalam media yang dimiliki MCA, namun pada masa yang sama memberi amaran agar barisan pengamal media yang dilihat sebagai sekta Ong Tee Keat tidak melampau. "Pandai-pandai dan jaga-jagalah", katanya.

Rancangan call-in yang popular

Sementara itu, Say Hi to Malaysia menjadi antara rancangan yang paling popular untuk stesen 98.8, mencatat bilangan audien setinggi 600,000 hingga 700,000 orang, kerana menyediakan pentas untuk pandangan yang lebih kritikal. Biarpun media ini dimiliki MCA, namun pemimpin Pakatan Rakyat turut diberi ruang dalam rancangan ini.

Misalnya, kejadian peniaga Cina cuba membakar diri di KOMTAR sebagai tanda protes terhadap kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang baru-baru ini, rancangan ini telah menemuramah peniaga tersebut melalui telefon, Teoh Bak Seng, disusuli dengan maklum balas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Tidak cukup dengan itu, panelis yang diundang pada hari tersebut juga memberi komen sebagai respon terhadap peristiwa ini.

Bukan itu sahaja, komentar yang diutarakan dalam rancangan ini juga mengungkit rasa tidak senang hati pihak tertentu. Antaranya, pengacara rancangan ini membacakan sms yang dihantar oleh audien, yang kadang-kala mengusik pemimpin-pemimpin dalam kerajaan Barisan Nasional.

Untuk sesetengah audiens, rancangan ini memberi ruang yang lebih seimbang kepada pembangkang jikalau dibandingkan dengan media arus perdana yang lain. Namun, dari kaca mata pihak berkuasa, rancangan sebegini semestinya"tidak seimbang" dan bias terhadap pihak kerajaan.

Dalam surat amaran yang diterima semalam (18 Ogos), Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) merujuk kepada rancangan yang berlangsung pada 13 Ogos, membicarakan isu hubungan kaum di negara kita. Tetamu khas pada hari itu, OuYoung adalah warga Malaysia yang duduk di Amerika Syarikat, membandingkan hubungan kaum antara negara kita dengan negara Barat tersebut.

Tekanan daripada MCMC

Biarpun tidak menjelaskan secara terperinci hujah manakah yang melanggar undang-undang, namun stesen 98.8 kini berdepan dengan tekanan dan risiko untuk diambil tindakan di bawah Akta Multimedia dan Komunikasi 1998. Dalam keadaan sebegitu, pihak pengurusan atasan stesen 98.8 mengambil langkah supaya Jamaluddin Ibrahim "mengambil cuti dan berehat" buat sementara.

Dengan kata lain, nasib Jamaluddin tidak menentu buat sementara waktu. Seandainya beliau terpaksa mengikut jejak Joshua Wong (yang meletak jawatan sebagai protes kerana self-censorship), Chou Z Lam (yang dihentikan RTM sebelum tempoh perkhidmatan tamat mengikut kontrak) dan Tan Ean Nee (yang tidak diperbaharui kontraknya oleh RTM); maka ia semestinya petanda kepada ruang kebebasan bersuara yang semakin sempit dalam zaman pemerintahan Perdana Menteri ke-6, Najib Razak.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Tiada ulasan: