Ahad, 15 Ogos 2010

Lagi mayat bayi ditemui, di tebing Sg Tambun Damansara

BERNAMA

PETALING JAYA— Satu lagi mayat bayi perempuan yang dibuang ditemui dalam sebuah beg galas berwarna hitam di tebing Sungai Tambun dekat Kota Damansara di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata bayi berkenaan, yang masih bertali pusat, ditemui tiga lelaki yang menjala ikan di sungai itu pada pukul 11.40 pagi.

“Tiga lelaki itu ternampak sebuah beg dalam keadaan mencurigakan dan bertindak memeriksanya sebelum menemui mayat bayi perempuan yang cukup sifat.

“Mayat bayi malang ini dibungkus dengan tuala dan kain hijau yang menyerupai kain digunakan di hospital untuk membalutnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata polis akan menyiasat sama ada kain itu adalah milik mana-mana hospital untuk memastikan sama ada bayi itu dilahirkan di hospital.

Arjunaidi berkata bayi itu, yang berkulit gelap, tidak mengalami kecederaan dan dipercayai dilahirkan dalam tempoh 24 jam lepas dan mati sebelum dibuang di kawasan itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar dalam status di laman social Facebook berkata ketika ditemui, keadaan mayat bayi itu masih segar dan dipercayai baru sahaja ditinggalkan di tebing sungai itu serta masih ada kesan najis bayi.

Sementara itu, seorang saksi Badrul Abdul Rashid, 24, yang berasal dari Sungai Buloh berkata beliau dan dua lagi rakan terkejut apabila ternampak kaki bayi ketika membuka beg itu sebelum melaporkan kepada pengawal keselamatan di kondominium berdekatan.

“Ketika menjala ikan, kami ternampak beg itu dan berasa tidak sedap hati. Ketika mahu pulang, rakan saya mengajak untuk memeriksa beg berkenaan.

“Bila kami buka, kami terkejut apabila sepasang kaki bayi menjulur keluar. Kami lantas melaporkan pada pengawal keselamatan sebelum dia menghubungi polis,” katanya.

Tiada ulasan: