Ahad, 8 Ogos 2010

Khalid Tegas Projek Air Selangor-Pahang Jangan Dibuat Terburu-buru

Oleh Sidiqin Omar

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor mengalu-alukan tawaran kerajaan negeri Pahang untuk membuat kajian berkenaan rancangan pembinaan loji rawatan air di negeri itu namun menegaskan projek itu tidak perlu dibuat secara terburu-buru sehingga selesai semua penyelidikan dan kajian rapi.

"Kerajaan negeri Selangor tetap dengan pendirian bahawa projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor yang dianggarkan berharga lebih RM8 bilion tidak perlu dibina secara terburu-buru, kerana kita yakin bekalan air di Selangor mencukupi sehingga tahun 2019," kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan media Rabu lalu.

Abdul Khalid menjelaskan projek penyaluran air mentah antara dua negeri ini juga sepatutnya boleh ditangguhkan buat sementara waktu sehingga proses penstrukturan semula industri air di Selangor selesai dilaksanakan.

"Kerajaan negeri Selangor juga bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk mencari sumber air alternatif lain yang tidak memerlukan kos tinggi seperti memproses air hujan, sumber air bawah tanah dan paling utama mengadakan langkah-langkah untuk menurunkan lagi kadar air tidak berhasil (NRW)," kata beliau.

Bagaimanapun kerajaan negeri kesal dengan sikap Kerajaan Persekutuan yang sengaja menggunakan isu bekalan air sebagai tekanan kepada Selangor supaya menerima pelan penstrukturan semula industri air yang dicadangkan.

"Kerajaan negeri Selangor percaya pendekatan Kerajaan Persekutuan yang sengaja melengah-lengahkan rundingan ini hanyalah bertujuan melindungi syarikat kroni, dan bukannya melindungi kepentingan rakyat," jelas Abdul Khalid.

Tegas beliau rundingan untuk mengambil alih perkhidmatan bekalan air daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) akan tetap diteruskan walaupun terdapat banyak halangan.

Ini kerana kerajaan negeri Selangor berpegang kepada prinsip bahawa air adalah hak rakyat dan perlu dikembalikan semula kepada rakyat, kata Abdul Khalid.

Tiada ulasan: