Rabu, 18 Ogos 2010

Kes saman oleh bapa Nurin Jazlin cuba diselesaikan menerusi proses pengantaraan

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Pihak-pihak yang terlibat dalam kes saman oleh bapa kanak-kanak yang diculik dan dibunuh, Nurin Jazlin Jazimin, akan cuba menyelesaikan kes itu menerusi proses pengantaraan.

Plantif, Jazimin Abdul Jalil, 35, seorang pekerja di syarikat keselamatan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Petaling Jaya dan kerajaan Malaysia berhubung dakwaan cuai ekoran pengedaran gambar bedah siasat anaknya di internet.

Pada 29 Jan lepas, mahkamah membenarkan Jazimin menamakan Lans Koperal Amran Arifin selaku defendan kelima selepas keempat-empat defendan yang lain itu mengaku dalam pernyataan pembelaan mereka bahawa gambar bedah siasat Nurin Jazlin, 8 tahun, diedar oleh Amran.

Kes itu disebut hari ini di hadapan Hakim Harmindar Singh Dhaliwal untuk proses pengantaraan.

Jazimin hadir di mahkamah bersama peguamnya Akbardin Abdul Kader dan Siti Natasha Basheer Hassan manakala Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom mewakili kesemua defendan kecuali Amran.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Akbardin berkata hakim memerintahkan peguam plaintif untuk melakukan penyelidikan berhubung isu ganti rugi yang dipohon oleh Jazimin.

Katanya hakim turut memerintahkan Zureen Elina untuk melakukan penyelidikan berhubung isu sama ada kerajaan dan pihak polis bertanggungjawab terhadap perbuatan Amran mengedarkan gambar itu secara gurauan.

“Sehingga hari ini kita gagal mencapai penyelesaian tetapi hakim ada membayangkan pihak-pihak yang terlibat agar segera mencari penyelesaian pada tarikh akan datang. Kami akan menyerahkan laporan penyelidikan berhubung dua isu itu pada 15 Okt,” katanya.

Jazimin memfailkan saman itu pada 21 Ogos 2008 dan memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai kerana mendakwa gambar-gambar itu bersifat sulit dan peribadi dan bukan untuk tatapan umum tetapi hanya untuk tujuan penyiasatan kes Nurin.

Nurin hilang pada 20 Ogos 2007 selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini.

Mayatnya dijumpai dalam sebuah beg sukan 27 hari kemudian di hadapan sebuah kedai di Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya, dekat sini. Bedah siasat menunjukkan dia telah didera secara seksual. —

Tiada ulasan: