Rabu, 18 Ogos 2010

KERAJAAN NEGERI JUAL SAFMA SECARA 'COVER-UP'?

Oleh: SURIATI MAHMUD (sabahkini)

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan segera berhubung penjualan sebuah agensi kerajaan Negeri Sabah, Sabah Fish Marketing (SAFMA) Tawau kepada sebuah agensi kerajaan lagi, Lembaga Pelabuhan Sabah (LPS) yang dikhuatiri dijadikan ‘Proksi’ oleh pihak tertentu kerana usaha pelupusan SAFMA sebelum ini gagal kerana bantahan Konsortium yang mengendalikan feri ke Nunukan dan Sebatik.

Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Zainuddin Hassan membuat gesaan demikian setelah perjanjian rasmi jual beli dimaterai minggu lalu sebagaimana yang telah disiarkan di dalam akhbar tempatan pada 10 dan 14 Ogos 2010 dan setelah mengkaji semua aspek, pelupusan kepentingan terhadap SAFMA ini mempunyai unsur rasuah, khianat dan membelakangkan akauntabiliti Kerajaan Negeri Sabah.

“Memang menyedihkan SAFMA yang bernilai lebih RM300 juta dilupuskan dengan harga RM30.5 juta sahaja iaitu tanah RM17 juta dan bangunan RM13.5 juta,” ujar Zainuddin yang mendakwa ada sesuatu yang tidak kena dengan penjualan agensi kerajaan yang amat penting untuk nelayan Tawau.

Walaupun Kabinet Negeri Sabah telah meluluskan penjualan SAFMA kepada Lembaga Pelabuhan Sabah, namun kata Zainuddin ianya dibuat di sebelah pihak sahaja sehingga ada menteri kabinet yang tidak bersetuju dengan penjualan berkenaan, namun Zainuddin enggan menamakan menteri tersebut.

“Kita minta SPRM siasat Pengerusi SAFMA dan semua Menteri Kabinet Sabah kerana penjualan ini hanya sebagai usaha ‘Cover-up’ untuk membolehkan Kompleks SAFMA dimiliki oleh orang tertentu melalui pintu belakang setelah cadangan pengswastaan sebelum ini menemui kegagalan,” ujar Zainuddin yang kesal kerana SAFMA Tawau yang ditubuhkan pada 1989 akhirnya berkubur tanpa nisan.

Tegas Zainuddin, mengikut maklumat yang beliau terima, Lembaga Pelabuhan Sabah hanya menjadi ‘Pak Sanggup’ dan ‘Commission Agent’ kerana selepas itu sebuah syarikat swasta akan menyewa Kompleks berkenaan selama 25 tahun setelah menyewanya sejak 10 tahun lalu daripada SAFMA.

Kompleks SAFMA berkenaan akan dinaiktaraf sebagai Terminal Feri yang baru menggantikan terminal feri berdekatan Pasar Ikan Tawau dan akan dikendalikan sepenuhnya melalui projek pengswastaan yang melibatkan pelaburan ratusan juta ringgit.

Menurut Zainuddin, walaupun penjualan SAFMA telah mendapat kelulusan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Sabah berhubung pelupusan kepentingan SAFMA kepada Lembaga Pelabuhan Sabah yang hanya mempunyai 25 orang pegawai sahaja selepas operasi pelabuhan diswastakan kepada Suria Capital Sdn.Bhd.

“Lebih zalim lagi, penjualan SAFMA ini akan menyebabkan lebih 200 pekerja di Tawau akan hilang pekerjaan kerana mereka tidak dipakejkan dalam perjanjian berkenaan,” ujar Zainuddin lagi yang menyebut opsyen yang ditawarkan secara berasingan tidak adil untuk pegawai yang telah lama berkhidmat dengan SAFMA.

Zainuddin mendedahkan percubaan sebuah syarikat swasta mengambil alih Kompleks SAFMA sebelum ini gagal kerana mengikut Akta Pelabuhan dan Dermaga, jeti persendirian seperti SAFMA tidak boleh dijadikan Terminal Feri kecuali ianya dibina di atas tanah Lembaga Pelabuhan Sahaja.

“Oleh itu, Kabinet Negeri Sabah dan Lembaga Pengurusan SAFMA telah main wayang dengan memindahkan semua pegangan hak milik SAFMA kepada Lembaga Pelabuhan Sabah agar cita-cita syarikat swasta berkenaan membina Terminal Baru Feri Penumpang menjadi kenyataan,” ujar Zainuddin yang mendesak agar kerajaan negeri membatalkan cadangan pengswastaan selama 25 tahun kepada syarikat swasta terbabit bagi menjaga kepentingan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Pengerusi SAFMA, Datuk Nurnikman Abdullah dan Pengurus Besar SAFMA, Zulkefli Safar gagal dihubungi untuk mendapatkan ulasan mereka berhubung dakwaan Zainuddin.


Tiada ulasan: