Isnin, 9 Ogos 2010

Keputusan kontrak KPN diumumkan apabila sampai masa: Hishammuddin

BERNAMA

PUTRAJAYA: Keputusan sama ada kontrak Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan akan disambung atau tidak akan diumum apabila sampai masanya nanti, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Bila sampai masanya nanti, kita akan umumkan," katanya selepas pelancaran MSAFE Putrajaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Hishammuddin berkata demikian ketika mengulas kedudukan kontrak Musa, yang akan berakhir 12 September ini.

Sementara itu, ketika mengulas status penerbitan Suara Keadilan dan Roket, Hishammuddin berkata, timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop sedang memantau perkara itu.

"Yang penting ada garis panduan dan Peguam Negara juga telah menyatakan bahawa (perlu) satu garis panduan supaya semua memahami apa yang boleh dan yang tidak boleh lakukan," katanya.

Beliau berkata, jika mereka ingkar, kementerian akan mengambil tindakan.

Pada 1 Julai lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk tidak memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan, kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan sidang redaksi akhbar itu berhubung beberapa perkara, termasuk penyiaran artikel bertajuk “Felda Bangkrap”.

DAP pula menerima dua surat tunjuk sebab bagi akhbar Roket edisi bahasa Inggeris dan Cina yang permit penerbitan masing-masing tamat pada 30 Jun lalu dan 30 November tahun lalu. -

Tiada ulasan: