Jumaat, 27 Ogos 2010

Keputusan kes dadah Ameng Spring 7 September

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 7 September depan untuk keputusan kes penyanyi kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng terhadap tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menetapkan tarikh itu selepas peguam Kamarul Zaman Abdul Rahman yang mewakili Ameng dan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias menfailkan hujahan bertulis masing-masing.

Bagaimanapun penyanyi itu tidak hadir pada prosiding hari ini.

Di luar mahkamah, Kamarul Zaman memberitahu pemberita bahawa dalam hujahan bertulisnya beliau menyatakan terdapat percanggahan material terhadap tiga saksi pendakwaan khususnya berhubung label pelekat dan “seal” terhadap botol spesimen air kencing penyanyi itu.

“Terdapat percanggahan antara saksi pertama iaitu Penolong Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Sjn Halimi Jarkasi, 47, dengan saksi kedua, Detektif Koperal Norazman Mohamed, 46, dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul mengenai ‘seal’ yang terdapat ke atas botol itu di mana saksi pertama menyatakan nombor ‘seal’ atas botol itu ialah 731 manakala saksi kedua pula berkata 713,” jelasnya.

Kamarul Zaman berkata kegagalan pihak pendakwaan untuk mengemukakan gambar sebenar daripada negatif juga telah membangkitkan satu bukti bertentangan dengan Seksyen 114 (8) Akta Keterangan 1950.

Pada 12 Mei lalu, Ameng, 41, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada pukul 3.45 petang, 2 April lepas.

Penyanyi itu diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Ameng, yang pernah popular dengan lagu “Bourgenvilla” dan “Sampai Hati”, didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: