Selasa, 17 Ogos 2010

Kempen Perkasa boikot makan ayam seminggu ‘ajar’ peniaga

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR— Perkasa akan melancarkan kempen Boikot Makan Ayam Seminggu minggu depan bagi mengajar penternak dan pembekal ayam yang menaikkan harga setiap kali musim perayaan.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pernah mengadakan kempen itu selama sebulan kira-kira sedekad lalu.

“Kita tahu kenapa harga ayam naik ketika musim perayaan. Ini semua penternak dan pembekal punya angkara ini.

“Oleh itu, Perkasa akan lancarkan kempen boikot makan ayam pada 18 atau 19 Ogos ini.

“Kalau pengguna dapat bersabar dan tak makan ayam seminggu kita nak lihat apa akan jadi kepada penternak dan pembekal ayam di negara ini.. silap-silap mereka mungkin beri ayam percuma selepas ini,” kata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata sudah tiba masanya pengguna memberi pengajaran kepada penternak dan pembekal ayam di negara ini supaya tidak menaikkan harga ayam sesuka hati mereka.

“Kita akan mengedarkan risalah di madrasah dan kawasan plaza tol di seluruh negara. Saya percaya selepas itu harga ayam akan turun,” katanya.

Difahamkan sehari sebelum Ramadan bermula harga ayam dilaporkan naik antara 30 sen sehingga 50 sen satu kilogram dan ia menimbulkan kegelisahan di kalangan orang ramai apabila ia meningkat 100 peratus hari ini.

“Seperti tahun 1980-an dulu bila harga limau mandarin harga naik ada rakyat lancarkan boikot sehingga harga turun.

“Jadi kes harga ayam ini kalau pengguna dapat bersabar tidak makan ayam seminggu kita tengok apa akan jadi kepada penternak dan pembekal ayam,” kata Ibrahim lagi.

Dalam pada itu laporan Bernama menyebut kerajaan sedia mengeluarkan permit kepada pengimport ayam bagi menstabilkan harganya jika harga komoditi itu terus meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd Johari Baharom berkata bagaimanapun bekalan ayam, telur dan daging untuk keperluan sepanjang Ramadan dan musim perayaan dijamin mencukupi.

Katanya ayam yang dijual sekitar RM7 satu kilogram (kg) di kebanyakan pasar dan pasar raya di seluruh negara sejak umat Islam mula puasa dianggap munasabah kerana ditentukan oleh pasaran walaupun harga di ladang RM4.70 satu kg.

“RM7 masih rendah berbanding di negara-negara jiran. Kos pengangkutan, makanan dan permintaan naik mungkin menyebabkan harganya meningkat,” katanya ketika diminta mengulas isu harga ayam.

Pada tahun lepas, kementerian membuka permit import kepada syarikat-syarikat namun tiada yang memohon berikutan harga ayam di negara ini masih rendah, katanya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kubang Pasu berkata Persatuan Penternak Ayam di seluruh negara memberi perakuan akan membekalkan ayam secukupnya sehingga Aidilfitri.

“Ladang-ladang ternakan yang terdapat di seluruh negara mampu membekalkan 1.4 juta hingga 1.5 juta ekor sehari melebihi permintaan sebanyak 1.3 hingga 1.4 juta ekor sehari pada masa ini,” katanya.

Tiada ulasan: