Isnin, 9 Ogos 2010

Kempen bantah harga barang naik petang ini

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Barang (Protes) akan menganjurkan Kempen Bantah Harga Barang Naik: Selamatkan Rakyat di Pasar Malam Flat 17, Kampung Kerinchi, Lembah Pantai pada jam 5.00 petang ini.

Penyelaras Protes, Dr Mohd Hatta Ramli sebelum ini menjelaskan Kampung Kerinchi dipilih tempat pertama kempen itu diadakan kerana para penghuni di kawasan itu kebanyakannya daripada golongan berpendapatan rendah.

Selain itu, katanya Kampung Kerinchi juga berdekatan dengan institusi pengajian tinggi awam seperti Universiti Malaya yang menjadi tumpuan aktiviti para pelajar.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai menyeru orang ramai menyertainya dan menjangkakan sekitar 1,000 orang akan hadir termasuk penghuni Projek Perumahan Rakyat di sekitar Kampung Kerinchi.

Protes bukan sahaja dianggotai parti politik tetapi juga disertai kesatuan sekerja dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Suara Rakyat Malaysua (Suaram), dan Jemaah Islah Malaysia (Jim) dan Kumpulan Budayawan Bertindak.

Ekoran kenaikan harga barang '5 dalam 1' pertengahan Julai lepas, Protes mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan iaitu menghentikan pembaziran dalam pembangungan beberapa projek gajah putih seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), menguatkuasakan dasar gaji minimum, kembalikan harga asas barang asas seperti sebelum kenaikan, menjelaskan bagaimana 'penjimatan' RM4.6 bilion daripada penyelarasan subsidi pada 2006 dibelanjakan dan menstruktur semula subsidi supaya rakyat miskin terus mendapat faedah daripadanya.

Tiada ulasan: