Khamis, 19 Ogos 2010

Kehilangan telefon pesakit cetuskan piket di hospital

Fadzly Esa

Sukar dipercayai, kehilangan telefon bimbit seorang pesakit bernilai RM150 hari ini mencetuskan piket di hospital Assunta Petaling Jaya.

Tindakan 35 kakitangan hospital berpunca daripada kemarahan mereka apabila pihak sumber manusia hotel itu membuat laporan polis terhadap seorang jururawatnya sendiri - tindakan yang dianggap keterlaluan dan memalukan.

Setiausaha Kesatuan Sekerja Hospital Assunta M Krishnan berkata, mereka mahukan hospital berkenaan memohon maaf isu tersebut sewajarnya boleh diselesaikan di peringkat dalaman terlebih dahulu.

"Kenapa hanya sebahagian kecil daripada kami dibawa ke balai polis untuk soal-siasat? Kenapa tidak semua yang bertugas malam itu diangkut bersama?" katanya mempersoalkan tindakan majikan mereka.

Menceritakan versinya tentang kejadian pada 28 Julai lalu itu, Krishnan berkata selepas dipanggil mengadap siasatan dalaman pada hari yang sama, pihak pengurusan hospital membawa dua jururawatnya ke balai polis Sea Park untuk tujuan siasatan.

Dalam piket sejak bermula 1 tengah hari tadi, aktivis kesatuan itu membawa sepanduk tertera "Assunta hormat kakitangan","henti aniaya pekerja" dan "kesatuan pekerja kecam layan kurang adil pihak pengurusan".

Mereka melaungkan kata-kata mengecam tindakan pihak pentadbiran tersebut.

Suasana di luar perkarangan hospital hingar bingar dengan pelbagai jenis kenderaan membunyikan hon menyokong tindakan kesatuan tersebut.

Kelihatan lima anggota polis bertugas ditempatkan di luar perkarangan bangunan bagi mengawal keadaan.

Sementara itu pihak hospital berkenaan pula tampil mempertahankan tindakan mereka dan tidak akan membuat sebarang permohonan maaf kerana ia "tidak perlu" sama sekali.

"Ia adalah normal membuat laporan polis dalam kes sebegini," katanya pemangku ketua pegawai eksekutif (CEO) hospital itu Chong Yee Mun.

Tiada ulasan: