Ahad, 8 Ogos 2010

Kedudukan Senaman Yoga Di Kalangan Umat Islam


yoga Oleh Qayum Rahman

PETALING JAYA: Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2008 telah mengharamkan senaman Yoga kepada umat Islam kerana ia dipercayai mengamalkan pemujaan yang boleh menyesatkan jiwa dan rohani umat Islam hingga boleh memesongkan akidah.

Wartawan Free Malaysia Today mengadakan temubual bersama Pengerusi Persatuan Ulama Selangor Ustaz Mohd Zamri Syafik dan seorang pegawai dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang enggan menyerlahkan identitinya untuk mendapat kepastian berkenaan pengharaman Yoga kepada umat Islam.

FMT: Boleh Ustaz jelaskan mengapa Yoga salah disisi agama Islam ?

Ustaz Zamri: Senaman Yoga salah disisi agama Islam dan diharamkan kerana Yoga terdapat di dalam kitab suci agama Hindu "Bhagavad Gita" yang bermaksud ‘lagu Tuhan’. Dari sudut itu, Yoga memerihalkan pandangan untuk menyatukan agama menjadi satu, mendalami ketenangan fikiran, kemahiran untuk bertindak, serta keupayaan untuk mengekalkan penyesuaian dengan kemuliaan Diri (Atman) yang mempunyai intipati sama dengan asas Kewujudan Tuhan agama Hindu.

FMT: Bagaimana tafsiran Yoga pada pandangan Ustaz?

Ustaz Zamri: Pada pandangan saya, Yoga adalah senaman untuk membebaskan fikiran dan intelek daripada kerumitan dalaman individu masing-masing melalui pemahaman agama Hindu untuk menumpukan kepada kemuliaan diri melalui pemujaan Tuhan. Terdapat banyak pecahan didalam pengamalan Yoga.

FMT: Boleh ustaz terangkan lebih jelas mengenai pecahan Yoga yang dimaksudkan?

Ustaz Zamri: Terdapat empat jenis pecahan didalam Yoga iaitu Raja Yoga, Tafakur Psikofizikal, Bhakti Yoga (Pengabdian) dan Karma Yoga. Setiap laluan pecahan itu berbeza, tetapi tujuan asas masing-masing adalah sama sahaja iaitu untuk menyedari bahawa Brahman (Intipati Ketuhanan) merupakan kebenaran tunggal, badan mempunyai batas waktu dan Tuhan (Paramatman) adalah maha agung dalam semua agama. Saya menganggap pecahan yang dimaksudkan didalam Yoga itu jelas menunjukkan ianya haram disisi Islam untuk mempercayai dan juga mencontohinya.

Unsur pemujaan dalam Yoga

FMT: Mengapa Yoga diharamkan kepada Islam, Ustaz?

Ustaz Zamri: Bagi saya, senaman Yoga mengandungi unsur pemujaan dan ia mampu menyesatkan umat Islam untuk melakukan perkara haram dengan tidak mengikut syariat Islam. Sebagai contoh, kaedah yang dibawa oleh persatuan ‘Sahaja Yoga Malaysia’ di mana persatuan itu menyatakan Yoga mampu menyatukan semua agama menjadi satu…perkara itu adalah salah disisi agama Islam.

Persatuan itu juga meminta para peserta yang mengikutinya supaya menatap gambar wajah Shri Matajati Nirmala Dewi iaitu antara pengasas Yoga dengan menyebut sepenuh hati ‘Ibu’ (gelaran bagi Shri), berikanlah aku kesedaran diri (self realisation). Ini jelas membawa kepada perkara syirik dan pluralisme agama. Justeru itu Islam mengharamkannya.

FMT: Adakah cuma ‘Sahaja Yoga Malaysia’ mengamalkan pemujaan sedemikian?

Ustaz Zamri: Tidak…banyak lagi persatuan Yoga mengamalkannya dalam bentuk lain. Bagi Persatuan Talltree Yoga pula, mereka mendakwa Yoga ialah penyatuan tenaga tersendiri dengan tenaga yang berada di luar iaitu tenaga alam sekitar. Mereka menyatakan

Yoga ialah koleksi teknik dan amalan kerohanian bertujuan untuk menyatupadukan pemikiran, bahan, jiwa, emosi dan kepercayaan. Ini adalah pemujaan dalam bentuk yang berlainan pula.

Ustaz Zamri: Pelbagai lagi pemujaan berlainan dalam Yoga dan saya berharap, semua umat Islam yang masih mengikuti senaman Yoga dapat menghentikannya kerana ia akan memudaratkan pemahaman agama Islam dalam diri kita dari berpegang kepada akidah yang benar.

Boleh bersatu dengan Tuhan

Temubual Bersama Pegawai Jakim:

FMT: Bagaimana tafsiran Yoga pada agama lain?

Pegawai Jakim: Terdapat empat agama yang berpegang kepada ajaran Yoga yang mempunyai maksud berlainan iaitu;

Agama Hindu: Mengatakan bahawa Yoga boleh bersatu dengan Tuhan semasa Roh masih ada dalam badan, semasa seseorang itu masih hidup di dunia ini dan selepas matinya seseorang itu akan hidup semula ke dalam jasad lain. Keadaan ini berterusan sehingga sampai ke tahap suci yang layak bersatu dengan Tuhan – Brahma. Jalan keluar daripada dukha dan samsara yang berterusan ini hendaklah belajar cara-cara mengamalkan Yoga yang betul .

Agama Buddha: Hasil daripada pertapaan Yoga, pengamal Yoga Buddha akan mendapat Gautama Buddha yang dipanggil Kegemilangan Rohaniah (Enlightened). Agama Buddha beranggapan setiap individu perlu mengetahui kenyataan hidup di dunia ini melalui Yoga yang tidak lain daripada dukha dan samsara.

Agama Yahudi: Menggunakan cara yang sama seperti latihan bernafas, membaca mantra dan melakukan kedudukan badan (Asana) sebagai kehendak mencapai sejenis keadaan kesedaran (consciousness) .

Agama Kristian: Matlamat Yoga Kristian ialah ‘Kesatuan Roh dengan Tuhan’, bererti Yoga sesuai dengan Kristian. Yoga Kristian mengatakan bahawa kita Bersatu dengan Allah selepas mati. Manakala Yoga Hindu mengatakan bahawa kita boleh bersatu dengan Allah semasa Roh masih ada dalam badan, semasa seseorang itu masih hidup di dunia ini.

Simbol sujud kepada Tuhan

FMT: Boleh jelaskan mengenai pergerakan didalam Yoga yang haram disisi Islam?

Pegawai Jakim: Banyak jenis pergerakan didalam Yoga yang salah menurut agama Islam. Contohnya pergerakan (Asana Yoga) yang bermaksud ‘roh perbincangan’ iaitu pergerakan seseorang akan duduk bersila di atas lantai manakala kaki kanannya di atas peha kiri dan kaki kiri di atas peha kanan.

Contoh pergerakan lain yang haram didalam Islam:

Pergerakan Yuga-Mudra iaitu simbol sujud seseorang kepada Tuhan.

Cara duduknya: Bersila sama seperti duduk Padmasana. Tarik nafas dengan mendalam, kemudian hembuskan. Tunduk perlahan-lahan ke hadapan sehingga dagu dan mulut mencecah lantai. Dan belah lengan angkat ke atas, kedua belah tangan berpegangan. Kekalkan dalam keadaan begitu seberapa lama yang boleh tanpa menarik nafas, kemudian tarik nafas dan angkat badan perlahan-lahan sehingga tegak seperti kedudukan asal serta hembuskan nafas.

Yoga-Mudra ini amat jelas melibatkan perkara agama atau ketuhanan.

Pergerakan Matsyasana iaitu kedudukan ikan. Rebahkan badan ke belakang. Angkat dada ke atas supaya bahagian tengah kepala dapat mencecah lantai.Tangan kanan memegang kaki kanan dan tangan kiri memegang kaki kiri. Bernafaslah seperti biasa dan jangan ada paksaan.

Garudasana iaitu pergerakkan Garuda khayalan berkepalakan manusia menjadi tunggangan Tuhan Vishnu bila dia mahu naik ke langit. Cara melakukan Garudasana hendaklah berdiri tegak dengan sebelah kaki kanan memijak kuat di atas lantai. Sekarang angkat kaki kiri, peha kiri jadi bersilang dengan peha kanan. Belakang betis kiri dan kaki membelit betis kanan ’seperti akar membelit pohon’. Cara yang sama dilakukan ke atas lengan, sebelah lengan membelit lengan sebelah lagi. Tapak tangan menyentuh satu sama lain. Tangan terletak di hadapan muka. Kedudukan kaki dan tangan hendaklah bertukar ganti.

Pergerakan binatang

Pegawai Jakim: Pergerakan ini semua jelas tidak boleh diikuti oleh umat Islam kerana senaman ini perlu mempercayai pergerakan binatang dan juga pemujaan Tuhan untuk dituruti.

FMT: Bilakah Yoga ini mula diharamkan?

Pegawai Jakim: Yoga mula diharamkan pada tahun 2008 selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa kebangsaan diadakan pada 24 Oktober 2008 bersamaan 20 Zulhijjah 1429. Keputusan itu dikeluarkan setelah diteliti, dibahas dan dibincangkan pandangan bersama mufti-mufti negeri bahawa senaman Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi merupakan gabungan amalan fizikal daripada mistik Hinduism dan cara duduknya sama seperti yang digambarkan kepada tokong Shiva. Yoga mengandungi unsur-unsur keagamaan dan pemujaan dan ianya adalah HARAM serta bertentangan dengan akidah umat Islam.

FMT: Sesetengah individu menyatakan senaman Yoga ini masih tidak salah jika ia hanya mengamalkan pergerakan, bagaimana pendapat anda?

Pegawai Jakim: Samaada ia diamalkan dengan mentera atau hanya pergerakan badan, senaman itu adalah dilarang sama sekali kepada umat Islam kerana ia bertentangan dengan syariat Islam.

FMT: Boleh terangkan kajian yang telah dilakukan oleh Jakim berkaitan Yoga kepada umum?

Yoga berlatarbelakang agama

Pegawai Jakim: Selepas Jakim membuat kajian terperinci, Jakim tetap mendapati Yoga ialah sejenis senaman yang bersumber dan berlatarbelakang agama dan falsafah Hindu bercampur mentera yang syirik dan murtad.

Pegawai Jakim: Jawatankuasa Fatwa juga berpandangan senaman yang berbentuk pergerakan Yoga adalah haram kerana:-

  • Pergerakan – pergerakan dalam bentuk senaman Yoga didapati mempunyai unsur-unsur cara ibadat Hindu walaupun ada yang berpendapat ia sekadar pergerakan dan senaman.
  • Pergerakan-pergerakan berkenaan juga realitinya diharamkan kerana ia termasuk dalam perkara menamakan Tuhan sesuatu dengan objek untuk dipercayai sebagai satu helah. Perkara ini dilarang oleh Allah.

FMT: Dari segi manakah Yoga akan merosakkan akidah Islam?

Pegawai Jakim: Banyak segi yang boleh merosakkan akidah Islam berkaitan Yoga. Contohnya, terlalu taksub mempercayai diri dan keyakinan menggunakan hati, sebut perkataan dan pengakuan dengan lidah dan juga perbuatan kedudukan yang tidak senonoh.

FMT: Bagaimana cara terbaik untuk umat Islam memilih senaman?

Pegawai Jakim: Setiap sesuatu jenis senaman ataupun sukan adalah halal asalkan ianya tidak mengandungi unsur kemungkaran.

FMT: Apakah kesimpulan yang boleh diberikan oleh anda?

Pegawai Jakim: Setiap umat Islam perlu menghormati Fatwa yang diwartakan supaya tidak berlaku masalah akidah yang boleh memudaratkan umat Islam di negara ini melalui senaman yang boleh menyesatkan. Kalau kita sendiri tidak mengelak perkara yang memusnahkan akidah, kita seolah-olah tidak bertanggungjawab kepada agama sendiri tetapi lebih kepada agama lain.

Tiada ulasan: