Rabu, 11 Ogos 2010

Kedah akan bina kilang hasil tani

Mohd Ali Hashim

ALOR SETAR: Dua buah kilang baru bagi mengumpulkan produk hasil tani bagi negeri Kedah akan ditubuhkan di Sungai Petani tidak lama lagi.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, ini adalah bersesuaian dengan kedudukan Kedah sebagai sebuah negeri pertanian moden yang berpotensi untuk memberi pulangan yang tinggi kepada penduduk negeri ini.

"Sebuah kilang akan menjadi tempat bagi mengumpul semua produk pertanian negeri ini manakala sebuah lagi kilang adalah sebagai pusat pemprosesan hasil untuk dikomersialkan," katanya.

Azizan juga berkata, produk pertanian seperti buah buahan bermusim iaitu rambutan, dokong dan seumpamanya akan dikumpulkan sementara pusat pemprosesan pula akan berurusan dalam perkara yang berkaitan dengan pengetinan serta pembungkusan.

Katanya, dengan inisiatif ini maka hasil pertanian yang diproses secara komersial mampu untuk memberi pulangan yang amat besar apabila terdapat permintaan yang tinggi dikalangan pengguna tempatan dan luar negara.

"Kerajaan negeri optimis sekiranya usaha ini menjadi realiti, maka ia bukan saja dapat memberi pendapatan yang baik kepada penduduk negeri ini malah ia membuka ruang bagi memberi peluang pekerjaan yang luas kepada semua pihak yang terlibat," tambahnya lagi.

Tiada ulasan: