Sabtu, 21 Ogos 2010

KDNK 8.9% Diibarat Suntikan Morfin Untuk Khayalkan Rakyat Ekonomi Sudah Pulih

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM - Pengumuman pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 8.9 peratus dalam suku kedua 2010 dianggap suntikan morfin untuk mengkhayalkan rakyat bahawa kedudukan ekonomi Malaysia sudah pulih dan berada pada landasan kukuh untuk mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata beliau bimbang dengan gambaran tidak tepat yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana kayu ukur kepada sama ada kukuh atau tidaknya ekonomi sesebuah negara bagi tujuan belanjawan tahun berikutnya adalah pertumbuhan ekonomi pada akhir tahun tersebut dan bukannya pertumbuhan pada suku pertama atau kedua.

Sekaligus kata Azan situasi ini akan memberi kesan negatif kepada pelabur asing ketika mahu menimbang keputusan pelaburan di Malaysia.

"Jika kadar 8.9 peratus pertumbuhan dijadikan ukuran, kita memerlukan pertumbuhan yang 'sustainable' atau mampan sebanyak 6.0 peratus setiap tahun sehingga 2015 untuk mencapai status negara berpendapatan per kapita tinggi. Sekarang kita lihat pertumbuhan 10.1 peratus pada suku pertama telah menurun kepada 8.9 peratus pada suku kedua.

"Yang paling kritikal ialah suku ketiga di mana penyediaan terhadap belanjawan negara 2011 akan dibentangkan. Sekiranya pertumbuhan tersebut boleh dikekalkan kita bolehlah anggap negara telah mencapai 'sustainable growth' pada tahun 2010 tetapi jika kadar tersebut merudum kepada 6 peratus maka kita tidak akan mencapai matlamat itu dan seterusnya akan memberi petunjuk bahawa ekonomi Malaysia berada dalam paras berbahaya," kata beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.

Sehubungan itu, beliau tidak menyokong langkah kerajaan membuat pengumuman tersebut kerana ia boleh memberikan impak negatif dan gambaran buruk terhadap ekonomi negara.

"Maknanya, kita akan dilihat melakukan kesilapan ketika membuat pengumuman dan pelabur akan memerhati serta membuat perbandingan secara tiga bulan sekali. Oleh Sebab itu saya rasa lebih baik kita jangan umumkan pada setiap suku, tetapi berikan satu angka keseluruhan pada akhir tahun itu.

"Kita bimbang keadaan akan berulang seperti yang terjadi pada suku terakhir tahun 2009 di mana ia mencatatkan pertumbuhan negatif. Kalau pun tujuannya adalah untuk menunjukkan pertumbuhan ekonomi negara tetapi kita harus ingat yang paling penting ialah pertumbuhan pada suku ketiga dan suku keempat yang akan menentukan kedudukan sebenar ekonomi negara," tegas Azan lagi.

Beliau dalam pada itu menegaskan kerajaan supaya tidak hanya cuba memberikan gambaran 'mirage' ekonomi kukuh kepada rakyat sedangkan apa yang lebih penting adalah untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi negara.Justeru itu Azan berharap pengumuman tersebut bukan untuk kepentingan politik semata-mata dengan memberikan gambaran secara berlebih-lebihan mengenai kedudukan ekonomi negara.

Pencapaian 8.9 peratus Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) ini cuba mencerminkan ekonomi Malaysia dalam landasan kukuh untuk mencatat pertumbuhan tinggi melebihi 6.0 peratus bagi keseluruhan tahun ini.

Bagaimanapun krisis kewangan global 2008-2009 menyaksikan ekonomi Malaysia menguncup sepanjang sembilan bulan pertama tahun lalu, sebelum pulih dengan catatan pertumbuhan 4.5 peratus pada suku keempat 2009.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebelum ini telah memberikan amaran bahawa dunia akan menghadapi gelombang kedua kemelesetan ekonomi.

Tiada ulasan: