Khamis, 5 Ogos 2010

KDN Tidak Bercakap Benar

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM - Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Datuk Zaitun Ab Samad didakwa tidak bercakap benar berhubung isu surat jawapan daripada Suara Keadilan kepada Kementerian Dalam Negeri.

Menurut laporan media semalam Zaitun berkata pihak KDN tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan kali pertama dan pihaknya tidak lagi menerima penjelasan daripada lidah rasmi KEADILAN itu walaupun diminta berbuat demikian.

Katanya lagi, KDN belum membuat keputusan sama ada akan menggantung terus akhbar tersebut atau membiarkan sahaja permit penerbitannya tidak diperbaharui.

Mengulas perkara ini Pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib menjelaskan komen Zaitun tersebut tidak bersandarkan fakta dan dianggap satu pembohongan.

"Pada 28 Jun pihak Suara Keadilan dipanggil bertemu dengan Ketua Setiusaha KDN dan selepas sahaja tamat perbincangan, saya telah diserahkan surat tunjuk sebab berhubung artikel 'Felda Bankrap'.

"Surat bertarikh 29 Jun tersebut telah kami jawab dan diserahkan kepada pejabat KSU pada 30 Jun, iaitu sebelum mesyuarat yang membincangkan permohonan memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan.

"Pada 2 Julai pula kami menerima satu lagi surat daripada KDN yang menyatakan pihak kementerian tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan berhubung surat tunjuk sebab," jelas Dzulkarnain.

Tambah beliau surat tersebut tidak memerlukan jawapan kerana ia dianggap sekadar makluman bahawa KDN tidak menerima penjelasan Suara Keadilan disamping menyatakan pihak akhbar juga tidak menjawab tiga surat peringatan yang dihantar sebelum ini.

"Selepas itu KDN menghantar surat yang ketiga bertarikh 9 Julai meminta pihak kami menjawab surat mereka bertarikh 2 Julai.

"Itu pun kami telah menghantar surat jawapan dengan tangan pada 12 Julai kepada pejabat KSU juga. kami ada salinan yang mempunyai cop serta tarikh penerimaan daripada pejabat KSU. Jadi saya musykil apabila Zaitun memberi penjelasan yang berbeza kepada pihak media mengenai isu ini.

"Bagi Suara Keadilan, kami telah jawab kesemua surat KDN. Hanya KDN sahaja yang sehingga kini masih tidak memberikan salinan tiga surat peringakatan yang kononnya mereka hantar kepada kami sebelum ini," ujar beliau lagi.Dzulkarnain berkata sehingga kini KDN masih membisu dan tidak memberi sebarang maklum balas berkaitan surat jawapan Suara Keadilan bertarikh 12 Julai tersebut.

"Kami masih menunggu kalau-kalau KDN masih tidak berpuas hati terhadap penjelasan lanjut kami berhubung isu Felda. Kalau tidak berpuas hati beritahu kami. Kami akan berikan lagi penjelasan lanjut. Sementara menunggu keputusan muktamad daripada KDN pihak KEADILAN akan terus menerbitan akhbar tidak berkala setiap minggu.

"Saya harap KDN telus dalam hal ini dan tidak bermain politik dan idak tunduk kepada tekanan politik. Jalankan tugas secara profesional kerana rakyat memerhati segala tindak tanduk KDN," tegas Dzulkarnain.

Permit penerbitan Suara Keadilan tidak diperbaharui pihak KDN setelah ia tamat tempoh sahlaku pada 30 Jun lalu walaupun permohonan telah dikemukakan oleh KEADILAN sejak 11 Mac 2010.

Tiada ulasan: