Isnin, 9 Ogos 2010

Kayveas tidak bimbang Murugiah bawa anggota PPP sertai MIC

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M.Kayveas hari ini menepis dakwaan Senator Datuk T. Murugiah bahawa 200,000 anggota PPP akan mengikutnya menyertai MIC.

“Kalau benar, saya minta beliau (Murugiah) ambil borang pendaftaran ahli baru MIC sebanyak 200,000 sekarang, dan isi nama-nama mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival 1Malaysia anjuran PPP bahagian Cheras, di sini hari ini.

Kayveas berkata sepanjang 10 tahun bersama PPP, Murugiah yang juga bekas Ketua Pemuda parti itu hanya mampu membawa masuk 30 anggota baru.

“Tidak mungkin secara tiba-tiba beliau mempunyai 200,000 penyokong,” katanya.

Kayveas mengulas kenyataan Murugiah baru-baru ini yang dilapor berjanji untuk membawa 200,000 penyokongnya menyertai MIC.

Murugiah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri secara rasmi menjadi anggota MIC pada 5 Ogos lepas setelah dipecat daripada PPP kerana cuba menjatuhkan Kayveas pada tahun lepas.

Tiada ulasan: