Isnin, 23 Ogos 2010

Kampung Baru: Lo' Lo' Akan Serah Memorandum Kepada Menteri

TV SELANGOR

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo’ Lo’ Ghazali akan menghantar satu memorandum kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bulan depan.

Memorandum mewakili penduduk Kampung Baru itu bagi membantah pembentangan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru di Parlimen yang dijadual Oktober depan.

Lo’ Lo’ berkata, rang undang-undang itu tidak sewajarnya dibentangkan di Parlimen kerana masih ramai penduduk Kampung Baru yang tidak memahaminya malah tidak mengetahui mengenai makmal draf undang-undang tersebut.

“Kita mahu, menteri turun ke Kampung Baru dan menerangkan mengenai undang-undang perbadanan ini supaya penduduk faham. Kalau bagus, mestilah disokong.

“Walaupun menteri kata makmal itu diwakili penduduk Kampung Baru tapi mereka tiak merasa merak diwakili dalam makmal itu dan rata-ratanya tidak mengetahui,” kata Lo’ Lo’ ketika dihubungi harakahdaily hari ini.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat juga mempersoal keputusan kerajaan pusat mewujudkan perbadanan yang tidak diwakili oleh penduduk kampung Baru sendiri.

“Bagaimana menteri boleh wujudkan perbadanan jika suara penduduk Kampung Baru tidak diwakili?

“MAS (Malay Agriculture Settlement) sendiri tidak mahu dilibatkan sedangkan hampir 80 peratus penduduk mempercayai MAS untuk mewakili mereka dalam perbadanan,” katanya lagi.

Beliau turut bimbang berlakunya penyelewengan dalam perbadanan tersebut kerana ianya akan diterajui oleh Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di bawah Umno.

“Kita bimbang sebab perbadanan ini akan diterajui oleh Gabem yang dipengerusikan oleh bekas ketua menteri Melaka Datuk Rahim Tamby Chik.

“Ini menjadi satu kebimbangan kerana orang luar yang terajui. Kenapa tak ambil orang kampung baru sendiri . Datuk Rahim orang luar adakah dia faham sensitivity penduduk Kampung Baru?

Tambahnya, perkara itu perlu diberi perhatian serius memandangkan pembangunan Kampung baru merupakan projek yang sangat besar dan melibatkan kawasan yang sangat luas.

“Kita tidak mahu perbadanan ini berlaku seperti PKFZ dan MAS yang mengalami kerugian yang besar sebab pembangunan ini melibatkan kawasan yang sangat luas,” katanya.

Sementara itu, Lo’ Lo’ menyokong penuh cadangan MAS untuk mengadakan pertemuan dengan penduduk kampung sebelum Oktober ini bagi memberi penrangan mengenai kedua-dua draf pembangunan dari kerajaaan pusat dan kerajaan Selangor.

Namun, beliau tidak akan turut serta bagi memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada penduduk untuk berbincang.

“Jadi biar mereka rasa bebas nak menyatakan pandangan masing-masing dan bagi saya tidak semestinya mereka mesti menyokong salah satu tapi sebaik-baiknya mereka gabungkan kedua-duanya.

“Maksudnyamana yang baik dari kerajaan pusat mereka ambil dan mana yang baik daripada kerajaan negeri mereka ambil juga. Ini akan melahirkan satu cadangan yang lebih baik dan bermanfaat untuk kepentingan bersama,” katanya.- HARAKAH DAILY

Tiada ulasan: