Selasa, 3 Ogos 2010

Kalimah Allah: Muhyiddin beri MCA amaran jangan cetus konflik

TERKINI

PUTRAJAYA — Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran tegas kepada MCA berhubung rayuannya agar kerajaan menggugurkan larangan ke atas bukan Islam daripada menggunakan kalimah “Allah”, yang dibuat selepas Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengakui keputusan dua tahun lalu dikesali.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, MCA mesti menerima keputusan kerajaan dan tidak harus mencetuskan satu lagi debat mengenai isu kalimah “Allah”.

Muhyiddin juga mempersoalkan niat MCA yang berkongsi platform yang sama dengan DAP dalam isu ini.

“Parti-parti komponen harus menerima (keputusan), jadi tidak wajar ada apa-apa perbahasan yang boleh memanaskan situasi yang sudah pun tenang.

“Saya tidak tahu mengapa DAP dan MCA mempunyai pendirian yang sama dalam isu ini. Kita tahu bahawa isu ini menjadi debat yang hangat sehingga membawa kepada persekitaran tidak sihat,” katanya lagi.

Oleh itu kata beliau, situasi seumpama itu tidak harus dicetuskan semula.

“Biarkan urusan ini diselesaikan secara baik. Komen-komen yang dibuat seharusnya mempertimbangkan kepentingan orang ramai dan bukannya kepentingan sesetengah kumpulan, sama ada politik ataupun pentadbiran,” kata beliau.

Muhyiddin ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pembangunan belia di Perdana Putra hari ini.

Muhyiddin berkata kes itu masih di peringkat mahkamah yang berkaitan dengan perbicaraan yang belum lagi selesai dan kerajaan mengelak daripada perkara itu dibincangkan secara terbuka.

Sehubungan itu, beliau berharap tidak ada pihak yang cuba mencetuskan isu baru berhubung perkara itu.

“Perkara itu perkara lama dan semua pihak tahu pendirian kerajaan mengenainya,” tegasnya

Tiada ulasan: