Ahad, 8 Ogos 2010

Jom ke program 'Memperingati Al-Marhum Ustaz Hasan Shukri'

Riduan Mohamad Nor

Perihnya perasaan untuk melepaskan ustaz Hasan Shukri pergi untuk sebuah perjalanan abadi, namun itulah hakikat sebuah kitaran kehidupan, tiada yang kekal menongkat langit melainkan pencipta alam ini. Tokoh datang dan pergi, namun untuk mengisi dan mencari sosok seumpama ustaz Hasan Shukri agak sukar, apatah lagi saat parti berada di serambi kuasa. PAS sedang dilamun keasyikan untuk menggapai Putra Jaya dengan rakan Pakatan Rakyat, sokongan semakin menggebu, samada Melayu atau bukan Melayu, UMNO semakin dijauhi seperti disumpah badi mayat, kereputan sebuah jasad yang sarat dengan penyelewengan!

Tokoh ini puluhan tahun berdada dengan ujian di medan ,Keilmuan yang dikahwinkan dengan segudang pengalaman di medan jemaah, yang ditempuh semenjak usia belasan tahun. Jemaah diuji dengan kepayahan dan kesenangan namun beliau tetap dengan dirinya yang sederhana. Intailah dia di markas tarbiah, di halaman markas dengan hamparan rumput hijau yang dipastikan terpelihara, memungut sampah sarap agar keceriaan markas melambangkan citra perjuangan Islam yang mendambakan kebersihan, Ustaz membersihkan tandas markas, memeriksa aliran longkang agar tidak tersumbat , walaupun beliau seorang ahli legislatif yang berkesan di Dewan Negara juga memimpin pertubuhan Islam terbesar dan tertua di negara ini.

Sosok seperti ini juga sukar digalang ganti, mesra dengan anak muda, mudah berkira dengan orang tua , mendengar dengan setia rintihan dan masalah ahli bawahan. Marah dan jerkahlah, ustaz akan membalas dengan senyuman, sedangkan dia juga mampu menunjukkan ‘kebanjarannya’. Makan bersila, berlaga lutut dengan ahli bawahan dibawah rimbunan teduh pokok, bergurau mesra merapatkan jurang pimpinan dengan akar umbi yang pelbagai.Saya akan terus memancang sebuah ingatan Ustaz Hasan terhadap kami , pimpinan pemuda, “PAS parti orang kampung, orang susah menyokong PAS kerana perjuangan Islam yang PAS bawa, jagalah akar umbi, jagalah cawangan-cawangan”.

Jemputlah ceramah atau tamrin ke mana sahaja, beliau tidak akan menolak jemputan. Selagi mana tenaga dan fikirannya diperlukan, ustaz akan hadir untuk berbahagi dan berkongsi, meredah kegelapan malam , meranduk jalan perbukitan, menyusur sungai bukan halangan, berakitan ke pulau untuk ke tempat tamrin dan program parti. Semua kini hanya tinggal kenangan yang terakam indah dalam relung hati kita, selamat jalan Ustaz, kami merinduimu selagi hayat dikandung badan. Moga ustaz tenang dan bahagia disana menuai ladang pahala.

Jom, teman-teman semua, kita berhimpun di Markas Taman Melewar Ahad petang (8 Ogos 2010) sebelum Maghrib. Kita solat berjemaah, membaca Yaasin, menjamu ala kadar bagi mengeratkan Ukhuwwah,Solat Isyak berjemaah dan mendengar ceramah khas sempena memperingati almarhum Ustaz Hasan. Pemidato ialah Ustaz Azman Shapawi (TKP DPPP), Haji Subki Latif ( teman baik), Ustaz Riduan (DPPP), Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan (KETUA DMP NS) dan Ustaz Fauzi Husain (DUP Kedah) dari Kedah.

Program ini dianjurkan bersama Lujnah Dakwah Dan Pembelaan Islam DPPP, Dewan Muslimat Selangor dan Pemuda PAS Gombak.

Tiada ulasan: