Sabtu, 14 Ogos 2010

Jam terbesar di dunia berdetik di Mekah

MAKKAH: Umat Islam di seluruh dunia tidak lama lagi boleh menetapkan semula jam mereka berdasarkan waktu baru apabila jam terbesar di dunia mula berdetik di kota suci Makkah.

Arab Saudi berharap jam baru itu, yang terletak di atas bangunan Royal Mecca Clock Tower Hotel, yang bakal menjadi bangunan kedua paling tinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Dubai, akan menjadikan Makkah piawaian waktu alternatif kepada Waktu Meridian Greenwich (GMT) di London.

Bangunan itu terletak berdekatan dengan Masjidil Haram. Jam itu akan diuji selama tiga bulan bermula Ramadhan.

Jam raksasa itu dijangka memulakan tempoh percubaannya hari ini, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Dengan setiap satu daripada empat mukanya selebar 46 meter dan dibuat daripada jubin bersalut emas, jam itu berada lebih 400 meter dari permukaan bumi.

Saiznya enam kali lebih besar daripada jam Big Ben di London. Jam yang direka jurutera dari Jerman dan Switzerland ini boleh dilihat dari jarak lebih 25 kilometer.

Menara jam itu akan mencapai ketinggian 601 meter, kata SPA.

Dengan itu ia bakal menjadi bangunan kedua paling tinggi di dunia, mengatasi bangunan Taipei 101, setinggi 509 meter, di Taipei, ibu kota Taiwan, tetapi diatasi Menara Burj Khalifa, setinggi 828 meter, di Dubai, yang dirasmi Januari lalu.

Tiada ulasan: