Selasa, 10 Ogos 2010

Jais diminta dedah AJK masjid letak jawatan

Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi mendedahkan perangkaan dan bukti ahli jawatankuasa masjid dan surau yang meletakkan jawatan setiap hari di negeri ini.

Ini ekoran Khusrin dilihat mengeluarkan beberapa kenyataan tidak bertanggungjawab demi memburuk-burukkan institusi masjid dan surau di Selangor sebelum ini dengan mengatakan kira-kira 20 hingga 30 ahli jawatankuasa masjid dan surau meletakkan jawatan setiap hari.

"Tak ada sampai 20 hingga 30 orang meletak jawatan sebagai pengerusi masjid (dan surau) setiap bulan, itu semua kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

"Sengaja memperbesarkan semua ini untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat di Selangor, memburuk-burukkan masjid dan surau di Selangor," ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam.

Pun begitu, katanya, mereka yang terbabit meletak jawatan mungkin disebabkan kurang kebolehan untuk mengimarahkan masjid-surau atau mungkin dilihat tidak mampu memikul tanggungjawab masing-masing.

Sehubungan itu, beliau mencabar Khusrin mendedahkan perangkaan dan bukti sebenar di sebalik kenyataan berunsur tidak munasabah itu.

Sabtu lalu, akhbar melaporkan Khusrin mengandaikan perletakan jawatan mereka yang terbabit berpunca oleh kegiatan ceramah agama di surau dan masjid oleh sejumlah tertentu penceramah.

Khalid juga menyarankan agar Khusrin terlebih dahulu mendapatkan '4 Sanawi' dalam Sijil Menengah Agama (SMA) berhubung cadangan mahu memperkenalkan peraturan baru, iaitu setiap calon pengerusi masjid dan surau mesti sekurang-kurangnya memiliki '3 Sanawi'.

"Kalau Pengarah Jais nak tentukan bahawa pengerusi masjid sekurang-kurangnya perlu memiliki kelulusan agama '3 Sanawi', maka Pengarah Jais sekurang-kurangnya mesti ada 4 sanawi terlebih dahulu," ujarnya petang semalam di Pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen Shah Alam, di sini.

Bagaimanapun, beliau mengaku syor tersebut adalah bermanfaat untuk kedua-dua pentadbiran institusi agama Islam di negeri Selangor.

Baginya, profesionalisme Khusrin wajar dipertikai oleh semua pihak memandangkan beliau langsung tidak mempunyai sijil kelayakan khas agama yang asas seperti '4 Sanawi' atau diploma serta ijazah dalam bidang agama sedangkan beliau mentadbir institusi agama seperti Jais yang nyata penting bagi umat Islam di Selangor.

Tiada ulasan: