Rabu, 4 Ogos 2010

Iskandar Malaysia tarik pelaburan RM60.1 bilion


iskandar malaysia Wilayah pembangunan terbesar di Asia Tenggara menjelang 2025

Oleh Zainal Abidin Nor

PETALING JAYA: Iskandar Malaysia, seluas 2,217 kilometer persegi atau 547,830 ekar, yang terletak di selatan Johor berjaya menarik pelaburan bernilai RM60.1 bilion sehingga Jun 2010.

Sehingga ini sebanyak 40 peratus dari nilai pelaburan tersebut telah pun berjalan kerja-kerja pembangunan bagi mentransformasikan wilayah pembangunan seluas tiga ganda Singapura itu, menjadi sebuah wilayah metropolis yang berdaya tahan bertaraf antarabangsa.

"Kebanyakan pelabur yang datang memberi komitmen untuk melabur dan menjalankan usahasama membangunkan wilayah itu ialah mereka dari Singapura dan Timor Tengah, di samping pelabur tempatan," kata Naib Presiden (Ekonomi dan Perniagaan) IRDA, Md Eharay Abd Majid kepada FMT hari ini.

IRDA ialah singkatan kepada Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar, sebuah perbadanan milik kerajaan yang ditugaskan sebagai Perancang Utama dan pemilik tanah Iskandar Malaysia.

Katanya, "Para pelabur tempatan termasuk sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti UEM Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad, Gamuda Berhad, Mulpha International Berhad, WCT Engineering dan banyak lagi."

Eharay berkata, menjelang tahun 2025 nanti, Iskandar Malaysia bakal menjadi sebuah kawasan pembangunan untuk kediaman, perniagaan, hab makanan, pusat kewangan, hiburan dan riadah yang terbesar di Asia Tenggara dengan mempunyai tiga juta penduduk.

Ditanya mengenai prospek pembangunan sedangkan Malaysia mengalami kelembapan ekonomi ekoran belum pulih sepenuhnya dari kemelesetan ekonomi global, beliau berkata,

"Iskandar Malaysia, tidak sama seperti projek lain yang merupakan "one off project" tetapi pembangunan di wilayah ini melibatkan jangka masa yang panjang.

Beliau juga menolak dakwaan setengah pihak yang menyatakan Iskandar Malaysia gagal menarik para pelabur asing kerana Malaysia sendiri mengalami kemerosotan pelaburan langsung asing (DFI) yang begitu ketara pada kadar penurunan 81 peratus pada 2009 berbanding tahun sebelumnya.

"Dakwaan setengah-setengah pihak bahawa Iskandar Malaysia akan menjadi sebuah lagi projek "gajah putih" kerajaan, juga tidak benar, kerana wilayah ini sedang menyaksikan aktiviti-aktiviti pembangunan seperti perumahan, infrastruktur, pusat membeli belah dan sebagainya dengan agak pesat," jelas beliau.

Pembangunan lima zon

Menurut Eharay, Wilayah tersebut terbahagi kepada lima zon iaitu Zon A, B, C, D dan E.

Zon A meliputi Pusat Bandar Johor Bahru yang akan menyaksikan Pembangunan Berdepan Pantai (waterfront), Daerah Perniagaan Utama, Zon Warisan dan Tambak Malaysia-Singapura.

Nusajaya Malaysia ditugaskan untuk membangunkan Zon B yang meliputi pembangunan Kota Iskandar, Puteri Harbour, Educity, Afiat Healthpark, Medini (termasuk Daerah Kewangan Iskandar dan Legoland), Destinasi Resort Antarabangsa dan SiLC Nusajaya.

Zon C meliputi Pembangunan Pintu Barat termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas, Lebuhraya Lingkaran Kedua, Zon Perdagangan Bebas dan Taman Warisan Ramsar.

Sementara Zon D pula meliputi Pembangunan Pintu Timur termasuk Pelabuhan Pasir Gudang, Kompleks Industri Tanjung Langsat dan Pusat Pengagihan Serantau Kim-Kim.

Zone E dikenali sebagai Kulaijaya iaitu Lapangan Terbang Kulai, Taman Teknologi Tinggi Senai, Pusat Multimedia Senai dan Pusat Perniagaan Berjenama Tinggi.

Salah sebuah syarikat yang bergantung kepada pembangunan jangka panjang dan berdaya tahan di wilayah itu ialah pemaju hartanah yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Dijaya Corporation Berhad.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikat itu, Tan Sri Danny Tan Chee Sing melahirkan keyakinan projeknya, Danga Bay bernilai RM3.8 bilion akan mendapat sambutan daripada pelabur dan pembeli.

"Selain dari kedudukan projek "waterfront" yang mendepani Singapura, kedudukannya yang hampir dengan negara pulau itu memberi kelebihan kepada projek ini," katanya pada sidang media pada majlis menandatangani perjanjian jual beli dua bidang tanah seluas 14.97 hektar di Danga Bay bernilai RM308 juta.

Tan berkata, "ini adalah masa yang sesuai untuk kami datang ke Iskandar Malaysia memandangkan terdapat perkembangan tentang pertumbuhan ekonomi di koridor sebelah sini sejak ianya dilancarkan.

Tanah-tanah itu dibeli oleh Goldhill Quest Sdn Bhd – pada nisbah 60:40 usahasama di antara Nagasari Cerdas Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh Dijaya Corp) dan Global Corporate Development Sdn Bhd, yang dimiliki 100 peratus oleh Iskandar Waterfront Sdn Bhd.

Tiada ulasan: