Rabu, 18 Ogos 2010

Inkues Teoh: Kekecohan juga di luar mahkamah

MALAYSIA KINI


Satu kekecohan kecil berlaku di luar mahkamah selepas selesai prosiding kes inkues Teoh Beng Hock di Shah Alam hari ini.

Seorang lelaki yang memegang poster Teoh didakwa bertindak menghalang kereta yang dinaiki Abdul Razak dan menjatuhkan dirinya sendiri beberapa kali tetapi kemudian memberitahu media bahawa pemandu Abdul Razak cuba melanggarnya.

Kejadian yang disaksikan berpuluh anggota media dan orang ramai itu berakhir apabila seorang lelaki yang tidak dikenali menarik lelaki itu untuk memberi laluan bagi membolehkan Abdul Razak beredar.

Terdahulu, pada jam 8.45 pagi, seramai 30 orang hadir di hadapan bangunan mahkamah bagi memberi sokongan kepada keluarga Teoh.

Mereka berkumpul secara aman dan bersurai sejurus selepas prosiding berakhir empat jam selepas itu.

Pada satu sidang akhbar Gobind Singh Deo, peguam yang mewakili keluarga Teoh, berkata tindakan ketua pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mempersoalkan taraf pendidikan pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand menunjukkan ketidakmatangan Datuk Abdul Razak Musa.

Katanya Abdul Razak tidak fokus kepada isu utama dalam prosiding.

Malik Imtiaz Sarwar, peguam yang mewakili kerajaan Selangor, pula menyatakan tindakan mempersoalkan taraf pendidikan saksi itu, adalah memalukan.

Ketika prosiding, Abdul Razak telah mengemukakan soalan mengenai taraf pendidikan Pornthip yang diperoleh dari Universiti Mahidol di Thailand yang tidak diiktiraf di negara ini tetapi Pornthip berkata universiti itu merupakan antara lima universiti terbaik di Asia.

Sementara itu, Bernama melaporkan beberapa individu yang hadir pada kes inkues hari ini menjadikan mahkamah seolah-olah tempat mendengar ucapan ahli politik dengan bertindak menepuk tangan dan membuat bising.

Menurut Bernama, keadaan itu berlaku dari awal prosiding sehinggalah ketika Abdul Razak menyoal Pornthip.

Mereka didakwa melontarkan kata-kata kesat apabila Abdul Razak bertanyakan soalan kepada Pornthip dan apabila Pornthip memberi kenyataan yang tidak memihak kepadanya (Abdul Razak), mereka bertepuk tangan.

Situasi itu didakwa bukan sahaja mengganggu prosiding tetapi juga menyebabkan pihak media gagal mendengar dengan jelas.

Ada individu berkenaan diminta keluar daripada mahkamah setelah melontar kata-kata kesat kepada Abdul Razak.

Anggota exco kerajaan Selangor Ronnie Liu dilihat seperti merakamkan prosiding itu menggunakan telefon bimbitnya tetapi kemudiannya ditegur oleh anggota polis.

Tiada ulasan: