Sabtu, 7 Ogos 2010

Hospital Shah Alam: JKR akan ambil tindakan


Oleh: Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

SHAH ALAM – Rentetan permasalahan pembinaan Hospital Shah Alam yang tergendala selepas 850 pekerja buruh binaannya lari kerana tidak dibayar gaji.

TV Selangor menghubungi Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya untuk mendapatkan penjelasan, dan beliau berkata Kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Datuk Seri Ir Judin Abdul Karim berkata pihaknya sedang mengikuti perkembangan projek yang tergendala dengan rapat sebelum mengambil tindakan bagi mengatasi masalah ini.
Beliau menjelaskan Kementerian Kerja Raya akan meneliti prosedur-prosedur yang telah ditetapkan sebelum tindakan tegas dimajukan kepada mereka yang menjadi punca tergendalanya projek ini.

“Memang projek itu ada perkembangan yang perlahan dan kami sedang memantau amaran tersebut dan dalam masa yang sama kami ada prosedur yang perlu diikut, Kami akan ambil tindakan bergantung kepada prosedur tersebut,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai 850 pekerja buruh binaan yang lari selepas tidak dibayar gaji oleh majikan mereka, ini jawapan Judin.

“Projek pembinaan Hospital Shah Alam ini perlu disiapkan selewat-lewatnya pertengahan Jun 2011 mengikut kontrak yang diberikan oleh KKR kepada semua kontraktor.

“Bagaimanapun pelbagai pertanyaan timbul sejak tiga bulan ini selepas pekerja-pekerja buruh binaan dari hari ke hari susut meninggalkan projek itu.”

Semalam tinjauan TV Selangor ke lokasi pembinaan Hospital Shah Alam itu mendapati tiada seorang pekerja buruh binaan pun yang tinggal untuk menyiapkan projek tersebut. Cuma yang tinggal hanyalah 15 orang pekerja pembersihan di sekitar lokasi.

“Memang kalau projek ini perlahan, kami akan ambil tindakan, jadi kalau pasal pekerja itu, saya sudah buat laporan kepada Construction Industry Development Board (CIDB), Pengarahnya Datuk Hamzah.

“Saya rasa dia sudah ambil tindakan. Kalau hendak tahu lebih, tanya dialah,” katanya.

Ketika ditanya berapa lama yang diperlukan pihak Kementerian untuk menyelesaikan masalah ini, Datuk Seri Judin tidak mampu memberi jawapan muktamad.

Beliau berkata pihaknya perlu merujuk perjanjian kontrak diantara semua kontraktor dan sub kontraktor terlebih dahulu.

“Masalah ini memang sukar jadi kami akan mengambil tindakan bergantung kepada kontrak,” katanya.

Tiada ulasan: