Jumaat, 13 Ogos 2010

Hanya 'calon boleh menang' dikekalkan

BERNAMA


Penyandang Barisan Nasional (BN) tidak dijamin akan bertanding di kerusi masing-masing kerana telah diputuskan hanya 'calon yang boleh menang' akan dipilih bagi mewakili BN pada pilihan raya negeri akan datang.

Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Seri William Mawan Ikom berkata, walaupun SPDP telah memutuskan untuk mengekalkan semua penyandangnya pada pilihan raya negeri ke-10, namun keputusan itu belum muktamad dan mungkin berubah pada saat akhir mengikut perkembangan semasa.

"Tidak wujud keadaan bahawa kerusi itu adalah milik penyandang atau mana-mana parti komponen,” katanya kepada pemberita selepas menerima trofi Golf Sarawak Inter-Community Golf 2010 dan KGS Captain's Alumni Golf di pejabatnya di Kuching hari ini.

Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi negeri berkata, malahan dirinya sendiri sebagai menteri penuh negeri, presiden parti dan wakil rakyat juga masih belum pasti sama ada akan dikekalkan oleh pucuk pimpinan BN.

"Jika peluang BN untuk menang di kerusi tertentu mungkin terjejas, kita perlu memberi keutamaan kepada kepentingan BN,” katanya.


Tiada ulasan: