Rabu, 11 Ogos 2010

Gobind: Nota ‘misteri’ bukan bukti Beng Hock bunuh diri


KUALA LUMPUR— Peguam Gobind Singh Deo menafikan nota ‘misteri’ ditemui pada beg sandang Teoh Beng Hock menyimpulkan tindakannya mahu membunuh diri, sebaliknya bukti baru itu mungkin boleh menggambarkan bekas setiausaha politik berada dalam fikiran yang stabil ketika hari kejadian.

“Laporan The Star hari ini menyebut bahawa Peguam Negara kaitkan dengan kejadian bunuh diri. Saya boleh mengesahkan ia satu nota tetapi sama ada ia berkaitan dengan tindakan membunuh diri masih menjadi satu persoalan,” kata beliau.

Bagaimanapun kata beliau, bukti itu perlu untuk inkues kerana ia bersangkut paut dengan isu-isu sebelum kematian bekas setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah tahun lalu.

“Persoalan dalam inkues ini ialah sama ada Teoh berada dalam fikiran yang stabil telah digunakan oleh pendakwa... kini kami mendapati bahawa mereka ada satu dokumen yang didakwa ditulis oleh Teoh,” kata Gobind.

Kata Gobind, beliau terkejut kerana ia tidak dimaklumkan kepada koroner ataupun peguam sebelum ini.

Ahli Parlimen yang mewakili keluarga Teoh menekankan bahawa bukti baru tidak diketengahkan dalam inkues dan pakar yang telah disoal siasat sebelum ini.

Bukti itu sepatutnya telah ‘diuji’ oleh saksi-saksi terbabit dan oleh itu, kesahihan tentang perkara tersebut kemungkinan disahkan.

“Apa gunanya diberikan kepada kami sekarang, selepas setiap orang telah memberikan idea, keterangan, apa gunanya diberikan kepada kami?” katanya.

Kata beliau, Peguam Negara seharusnya mengetahui bahawa ia adalah bukti yang signifikan.

Gobind berkata beliau tidak yakin dengan penjelasan Peguam Negara bahawa beliau awalnya tidak yakin dengan kesahihan keterangan sebagai alasan mengenai bukti itu tidak diketengahkan sebelum ini.

“Jika beliau tidak yakin dengan kesahihan ketika itu, bagaimana beliau yakin sekarang selepas beberapa bulan inkues diadakan,” katanya.

Gobind menekankan bukan bagi Peguam Negara yang sepatutnya menentukan kesahihan bukti baru itu, sebalikanya sepatutnya menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan.

“Tidak menjadi hal jika beliau tidak yakin, beliau seharusnya menyerahkan kepada koroner untuk menentukan (kesahihan),” katanya.

Gobind juga berkata, keluarga Teoh menghadiri inkues dan peguam kerajaan sepatutnya boleh mendapatkan bantuan mereka melalui beliau.

Gobind menambah, Peguam Negara mesti menjelaskan apa yang beliau telah lakukan sepanjang 10 bulan lalu.

“Dengan segala hormat kepada Peguam Negara, saya mendapati situasi yang jelas di mana bukti disekat daripada (perhatian) kami,” katanya.

Sentimen itu dipersetujui oleh peguam Salim Basir, yang mewakili Ean Yong dalam inkues ini.

“Mereka seharusnya telah mendedahkan bukti ini kepada koroner dan kepada kami secepat yang mungkin, bukannya pada saat-saat terakhir,” katanya.

Malah kata beliau, kesahihan nota ini seharusnya telah disahkan ketika inkues.

Kenyataan pejabat Peguam Negara itu, dikeluarkan lewat petang semalam menjelaskan, pejabat Peguam Negara dimaklumkan mengenai penemuan nota itu oleh pegawai penyiasat ASP Nazri Zainal pada 7 Oktober lalu iaitu lebih dua bulan selepas kematian Teoh.

Kehadiran bukti baru di saat akhir inkues kematian Teoh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peguam yang mewakili keluarga bekas setiausaha politik itu dan kerajaan Selangor.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh memberitahu pemberita keadaan yang berlaku menunjukkan seolah-olah sesuatu yang dirancang dan beliau amat kecewa atas apa yang berlaku kerana bukti itu sepatutnya dikemukakan sebelum bermulanya prosiding.

Gobind berkata berikutan keadaan ini, beliau memohon supaya inkues dibicarakan menerusi Suruhanjaya Diraja dan berharap Peguam Negara dapat memberi penjelasan berhubung bukti baru ini.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam di sini selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Tiada ulasan: