Isnin, 23 Ogos 2010

Gerakan anggap hudud 'impian peribadi' Nik Aziz

MALAYSIA KINI


Pemuda Gerakan menegaskan PAS harus sedar bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang jenayah telah diperuntukan di bawah Kanun Keseksaan yang sedia ada.

"Negara kita, yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama, telah kian lama menolak perlaksanaan hukum hudud. Antara hukum hudud adalah hukuman potong tangan bagi pencuri dan rejam bagi penzina," kata ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang

Beliau merujuk kepada cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya undang-undang hudud bagi mengatasi gejala jenayah dan sosial seperti kes membuang bayi yang semakin meningkat.

Dalam satu kenyataan, Tan berkata, cadangan undang-undang hudud tersebut juga turut ditolak oleh DAP, yang merupakan rakan seperjuangan PAS dalam Pakatan Rakyat.

"Menurut kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh dua hari lepas, undang-undang hudud bukan jawapan kepada gejala jenayah dan sosial.

"Malah beliau juga berkata 'partinya DAP tidak dapat menerima sebarang bentuk pelaksanaan hudud di negara ini'.

"Ini jelas menunjukkan bahawa cadangan undang-undang hudud oleh mursyidul Am PAS tersebut adalah hanya impian peribadinya.

"PAS harus sedar bahawa hukum hudud bukan impian semua rakyat Malaysia, yang berbilang kaum dan agama," tegasnya.

Oleh itu, beliau berharap PAS tidak akan lagi mengambil kesempatan untuk mencadangkan undang-undang hudud atas alasan kenaikan gejala jenayah dan sosial.

"Adalah lebih baik bagi PAS mengkaji sebab-sebab kenaikan gejala jenayah dan sosial dan memberi cadangan rasional untuk meminda mana-mana peruntukan di dalam Kanun Keseksaan yang sedia ada," tambahnya.

PAS, tegas Tan, PAS harus menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Keseksaan yang sedia ada.

Tiada ulasan: