Selasa, 17 Ogos 2010

Filem, video mungkin antara punca buang bayi

BERNAMA

KUANTAN — Kes pembuangan bayi serta keganasan yang semakin berleluasa di negara ini berkemungkinan mempunyai kaitan dengan bahan yang ditonton masyarakat.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri, S. Tanasengran berkata sehubungan itu, pihaknya kini bekerjasama dengan beberapa universiti awam menjalankan satu kajian berhubung impak bahan yang ditonton terhadap kelakuan individu.

“Kajian ini nanti akan membolehkan kementerian membuat polisi dan peraturan lebih berkesan dalam penyiaran bahan-bahan tontonan,” katanya kepada pemberita selepas melawat bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan cawangan Pahang, di sini hari ini.

Kajian itu katanya melibatkan Universiti Teknologi Mara, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tanasengran berkata sekalipun kajian mengenai perkara itu belum pernah dilakukan di negara ini, namun kajian di negara luar menunjukkan wujud impak media seperti filem terhadap masyarakat.

Antara bahan tontonan yang mampu memberi kesan negatif termasuklah pornografi, katanya.

Tiada ulasan: