Sabtu, 21 Ogos 2010

Ezam: Saya terima cabaran AMK, sedia sumpah di mahkamah



Ezam didakwa membuat tuduhan qazaf terhadap Anwar. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Senator Ezam Mohd Nor menyerahkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) jika mahu mengambil tindakan berhubung aduan qazaf dibuat Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin semalam bersangkut paut dengan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya serahkan kepada Jawi sebagai pihak berkuasa untuk membuat tindakan lanjut sesuai dengan peruntukan undang-undang syariah dan saya akan beri sepenuh kerjasama kepada Jawi termasuk kesediaan bagi pihak saya bersumpah di depan hakim di Mahkamah Syariah,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ezam, bekas AMK dan menyertai Umno dua tahun lalu menegaskan, beliau tidak berganjak dan tetap mempertahankan setiap patah perkataan membabitkan Anwar, Penasihat PKR dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga presiden parti itu.

“Saya tetap mempertahankan setiap patah perkataan membabitkan Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah sama ada di ceramah, blog, Twitter sebelum ini kerana ia satu kewajipan menunaikan tanggungjawab saya kepada ummah yang dilanda fitnah besar hanya gara-gara karenah peribadi seorang pemimpin,” katanya lagi.

Semalam, Shamsul Iskandar mencabar Ezam buat sumpah di Mahkamah Syariah dan membawa empat orang saksi ekoran kenyataan-kenyataannya berhubung kes liwat kedua dihadapi Anwar.

Shamsul Iskandar membuat aduan terhadap Ezam dengan mendakwa membuat tuduhan qazaf terhadap Anwar.

“Saya cabar Ezam untuk mengangkat sumpah di Mahkamah Syariah sekiranya dipanggil selain membawa empat orang saksi lelaki bagi membuktikan segala tuduhan itu adalah benar.

“Saya pasti tuduhan yang dibuat Ezam itu adalah fitnah dan sudah pasti beliau juga tidak mempunyai empat orang saksi itu,” katanya.

Beliau berkata Jawi akan membuka kertas siasatan dan akan memanggil Ezam untuk beri keterangan.

Shamsul membuat aduan itu berdasarkan beberapa tulisan Ezam menerusi perkhidmatan blog-mikro Twitter.

Salah satu mesej Ezam yang dikeluarkan pada 11 Ogos lalu berbunyi, “Azizah lindungi Anwar sebagai isteri, OK, tidak boleh subahat biar Anwar fitnah yang lain untuk tutup kesalahan sendiri sebab Azizah tahu hal yang sebenar.”

Dalam kenyataan pada 12 Ogos lalu, Ezam mempertahankan pendiriannya bahawa beliau pernah diminta Dr Wan Azizah agar membantu menghalang seorang lelaki daripada mendekati suaminya sekitar 2006.

Ezam menambah, beliau bersedia untuk berhadapan dengan tindakan undang-undang Dr Wan Azizah jika merasakan telah difitnah dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Tiada ulasan: