Selasa, 3 Ogos 2010

Exco Halimah ambilalih pengurusan dana sekolah Tamil


halimah ali Oleh B Nantha Kumar

SHAH ALAM: Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor Dr Halimah Ali berkata peruntukan kerajaan negeri untuk membantu pembangunan pendidikan sekolah Tamil kini tidak lagi diuruskan oleh Ecxo Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kemiskinan, Dr Xavier Jeyakumar.

Beliau memutuskan bahawa hal itu akan diuruskan olehnya sendiri selepas perjumpaan dengan persatuan ibu bapa sekolah Tamil berhubung peruntukan kewangan yang diberikan melalui badan bukan kerajaan (NGO).

Sabtu lalu, sekumpulan ibu bapa melahirkan rasa tidak puas hati terhadap NGO dan Dr Xavier. Turut hadir dalam majlis pertemuan itu Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam dan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne.

Halimah berkata, Dr Xavier selama ini diberi mandat kerana beliau secara suka rela tampil ke depan dan meminta untuk menguruskan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri.

Baliau juga berkata setiap kali isu peruntukan dibangkitkan dalam mesyuarat exco, Dr Xavier menjawab hanya ada satu NGO sahaja yang dikenal pasti bermasalah.

"Saya sebelum ini tidak pernah berjumpa dengan ibu bapa pelajar sekolah Tamil. Ini kali pertama dan saya rasa sudah tiba masanya saya ambil alih isu ini," katanya.

Beliau turut memberi jaminan untuk membangkitkan mengenai masalah ini dalam mesyuarat Exco dan akan membuat perjumpaan lagi dengan Pengerusi Persatuan Ibu dan Guru (PIBG).

Halimah yang juga Adun Selat Kelang berkata, mana-mana sekolah Tamil yang masih belum menerima peruntukan daripada kerajaan negeri boleh memohonnya melalui laman web kerajaan negeri.

Halimah turut berkata kerajaan negeri belum memutuskan untuk menghentikan aliran peruntukan kerajaan negeri melalui NGO.

"Kita akan berbincang semasa mesyuarat Exco akan datang," katanya.

Sabtu lalu perbincangan mengenai peruntukan itu bertukar menjadi kecoh apabila kedua-dua belah pihak mula bertegang urat.

Pertengkaran itu bermula apabila Gwo Burne bertanya kepada tiga NGO terbabit mengenai dasar pimpinan Pakatan Rakyat terhadap program itu.

Namun apabila persoalan itu dijawab oleh Penasihat Khas EWRF S Pasupathi, Gwo Burne cuba untuk masuk campur dan keadaan kemudiannya menjadi tegang apabila kedua-dua mahu bersuara.

Situasi bertambah tegang apabila koordinator majlis itu K Arumugam menjerit kepada Gwo Burne "Awak tutup mulut dan duduk".

Dr Xavier kemudiannya cuba untuk mengawal keadaan namun ada segelintir ibu bapa menerpa ke arah pentas dan memanggil Dr Xavier sebagai penipu dan tidak ada kuasa daripada Menteri Besar Selangor untuk mengetuai mesyuarat itu.

Pengerusi Sekolah Tamil Midland S Kumaravel yang cuba mahu membantu Xavier kemudiannya menolak Gwo Burne yang pada ketika itu berdiri berdekatan pentas.

Presiden PIBG Sekolah Tamil Selangor (TSPAS) S Murali yang berang melihat keadaan itu kemudiannya menyerang Kumaravel.

Apabila serangan Murali itu dibalas Kumaravel, sekumpulan ahli PKR datang bersama Murali menyerang Kumaravel.

Pergaduhan itu akhirnya berjaya dikawal oleh ibu bapa yang lain, Gwo Burne, Manikavasagam, dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang turut berada semasa kejadian berlaku bertindak keluar meninggalkan dewan.

Bagi mengawal keadaan itu, Halimah yang sepatutnya mengetuai mesyuarat meminta Xavier untuk meninggalkan dewan sambil diikuti oleh tiga ahli NGO lain dan penyokongnya.

Berikutan kejadian tersebut, dewan yang dipenuhi ibu bapa itu menggesa Halimah membekukan peruntukan itu kepada NGO.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta kepada sekolah Tamil setiap tahun, dimana RM2.4 juta diberi secara terus manakala RM1.6 juta lagi diagihkan kepada TSP dan tiga NGO lain.

Ketiga-tiga NGO itu ialah Yayasan Tamil (TF), Yayasan Penyelidikan dan Kebajikan Pendidikan (EWWRF) serta Pusat Pembangunan Pembelajaran Informasi Kanak-kanak (CHILD).

Peruntukan melalui NGO itu dipersoalkan oleh Murali sambil menyifatkan peruntukan TSP disalah urus

Tiada ulasan: