Jumaat, 13 Ogos 2010

Empangan Bakun: Faedah mencecah RM10 juta/bulan tahun 2011

Neo Chee Hua

Projek Empangan Bakun yang menelan kos RM7.3 bilion sehingga akhir tahun ini, bakal menjurus kepada tanggungan faedah setinggi RM10 juta setiap bulan, oleh pemiliknya Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB), mulai tahun 2011.

Sementara itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) telah membekalkan pinjaman sebanyak RM5.75 bilion kepada projek ini sehingga kini.

Menurut laporan media bahasa Inggeris tempatan, jemputan lawatan media oleh SHSB pada minggu lalu, menyaksikan bagaimana projek ini telah disiapkan 96% sehingga April tahun ini. Keperluan teknikal telah dipenuhi, dan kini hanya menunggu lampu hijau daripada kerajaan negeri untuk memulakan operasinya.

Faedah setinggi RM10 juta setiap bulan

Menurut Managing Director SHSB Zulkifie Osman, syarikatnya sedang menunggu kelulusan kerajaan negeri untuk memulakan operasi menakung air. Operasi ini memerlukan tempoh tujuh bulan, sebelum ujian menjana elektrik dijalankan, agar memenuhi syarat minima operasi penjanaan elektrik.

SHSB terpaksa menanggung faedah setinggi RM10 juta setiap bulan mulai tahun depan, lantaran daripada penangguhan operasi penakungan air selama lima bulan dari apa yang dijadualkan sebelum ini. Oleh itu, Zulkifie berharap kerajaan negeri memberi kelulusan secepat mungkin agar kos projek empangan ini boleh dikurangkan.

Menurut Pengerusi SHSB Izzuddin Dali pula, kos pembangunan empangan adalah antara RM7.0 bilion hingga RM7.3 bilion (termasuk faedah dan pampasan) sehingga akhir tahun ini. Kos terus melonjak, memaksa agar operasi penakungan air dimulakan untuk mengurangkan kos yang ditanggung SHSB.

Di samping itu, SHSB sedang berunding untuk menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement, PPA) dengan satu-satunya pembeli kuasa elektrik dari Projek Empangan Bakun, Sarawak Energy Bhd, dengan harapan agar ia dimeterai pada hujung tahun ini.

Projek mega zaman Mahathir

Mengikut rancangan Projek Empangan Bakun sebermulanya, penjana hidroelektrik ini akan meluluskan satu projek Kabel Penyaluran Dasar Laut yang bernilai RM10 bilion, untuk membekalkan kuasa elektrik kepada Semenanjung Malaysia. Bagaimanapun, projek ini terpaksa dimatikan.

Seterusnya, Sarawak Energy Berhad muncul sebagai satu-satunya pembeli kuasa elektrik dari Empangan Bakun. Malah, kuasa elektrik ini akan dijual pula kepada sebuah kilang peleburan aluminium di Sarawak, yang dimiliki oleh syarikat perlombongan kedua terbesar di dunia, Rio Tinto.

Projek Empangan Bakun adalah projek penjana hidroelektrik mega yang diketengahkan oleh kerajaan Mahathir Mohamad pada tahun 1980-an, untuk memperbanyakkan sumber bekalan elektrik. Projek Empangan Bakun diserah kepada Ekran Bhd, yang dikuasai tycoon terkemuka, Ting Pek Khing pada tahun 1994. Namun demikian, projek mega ini terpaksa diketepikan berikutan kemelut ekonomi pada tahun 1997.

SHSB mengambil alih projek ini pada tahun 2000, dan kemudian projek ini ditenderkan. Malaysia China Hydro Joint Venture (MCHJV) yang ditunjangi Sime Darby Bhd berjaya memperolehi projek ini dengan harga tender RM1.8 bilion pada Oktober 2002.

Mengikut jadual asal, projek ini harus disiapkan pada akhir tahun 2007. Tetapi, penundaan berlaku sehingga ia disiapkan hanya pada tahun ini. Menurut kontraktor (Sime Darby), penundaan ini berlaku kerana laporan kajian tanah yang dibekalkan oleh SHSB tidak jitu.

Lebihan kos ditanggung kerajaan?

Menurut media tempatan yang memetik daripada sumber yang tidak diketahui, Sime Darby menuntut kos lebihan lantaran penundaan projek sebanyak RM780 juta daripada kerajaan. Namun demikian, beberapa faktor menyebabkan angka kos ini terus melonjak, menjurus kepada anggaran kerugian Sime Darby setinggi RM450 juta pada tahun kewangan 2010.

Sebagaimana yang diketahui, Sime Darby berniat menuntut kos lebihan sebanyak RM700 juta daripada kerajaan, malah meminta agar kerajaan mengecualikan pampasan yang harus dibayar kepada pemilik empangan berikutan penundaan. Lebihan kos ini telah melonjakkan kos pembinaan empangan dari RM1.8 bilion pada asalnya kepada RM3.2 bilion, yang belum merangkumi kos projek elektrik dan mekanik.

Seandainya dihitung secara terperinci, maka kerugian yang ditanggung oleh Sime Darby lantaran daripada Empangan Bakun boleh mencecah RM1 bilion. Namun, Sime Darby menuntut pampasan sebanyak RM700 juta daripada kerajaan, dan ditambah pula dengan permintaan untuk mengecualikan pampasan, maka kerugian dijangka akan dikurangkan kepada kira-kira RM300 juta.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Analisa asal dalam edisi bahasa Cina disiarkan pada 9 Ogos 2010. Disedut, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Tiada ulasan: