Selasa, 10 Ogos 2010

Dua lelaki protes kenaikan harga barang dibebaskan

BERNAMA

barang naik baru copy KUALA LUMPUR: Dua lelaki tempatan yang ditahan di Kampung Kerinchi di sini ketika menyertai kempen memprotes kenaikan harga barangan keperluan kira-kira 5.30 petang semalam, sudah dibebaskan malam tadi.

Dua lelaki yang berumur 33 dan 29 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira 10.30 malam selepas polis mengambil keterangan mereka, kata Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.

Katanya kedua-dua lelaki itu ditahan kerana enggan menyerahkan kad pengenalan apabila diminta berbuat demikian dan mereka juga enggan memberikan kerjasama sewaktu ditanya mengenai sebuah kereta di mana mereka berdua dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika berada berhampiran dengan kenderaan itu sewaktu protes itu.

"Mengikut undang-undang, adalah menjadi satu kesalahan kepada orang awam yang enggan memberikan kerjasama ketika ditanya oleh pihak berkuasa seperti anggota polis yang beruniform," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya kedua-dua lelaki itu dan kereta terbabit dibawa ke balai untuk di siasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang polis menjalankan tugas mereka dan Seksyen 24 Kanun Prosedur Jenayah.

Sebelum episod penahanan dua lelaki itu, beliau berkata polis menerima maklumat berhubung satu protes oleh badan bukan kerajaan di Kampung Kerinchi bagi membantah kenaikan harga barangan keperluan awam.

Wan Abdul Bari berkata polis telah memberikan amaran supaya bersurai kerana protes terbabit tidak mendapat permit.


Tiada ulasan: