Sabtu, 7 Ogos 2010

Dua jurutera ditipu skim cepat kaya

SABAH DAILY

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgaMTzU7Ri9xW0CtCTx63L39dITHKwylFSpyR-19BO-zhbWLQsnhXI8WM2_0s7iWJQKh8UPjYyvFha2wupd9T1xrn-nK6VlJsMi_UoXDElPLTH7UHcnyBcxSmqvsb69CStgrUn-0ctXWrA/s400/ringgit.jpgSewa mesin penapis air mineral bernilai RM1,400 sebulan dan dijanjikan keuntungan sehingga RM3,000 setiap bulan.


Demikian janji kosong sebuah syarikat skim cepat kaya yang berselindung di sebalik syarikat penapis air mineral di Taman Molek di sini sehingga menyebabkan dua jurutera berputih mata selepas mendakwa ditipu lebih RM21,000 setiap seorang.

Mangsa, Lee Poh Keong, 39, berkata, pada mulanya dia didatangi seorang ejen syarikat berkenaan yang menawarkannya peluang mendapat keuntungan mudah dengan menyewa mesin penapisan air mineral sekitar September tahun lalu.

Selepas tertarik dengan tawaran tersebut, Poh Keong kemudian mengajak rakan sejawatannya, K. Thorajoo, 32, untuk turut serta.

Walaupun terpaksa menandatangani kontrak yang mahukan mereka berdua menyediakan RM21,000 seorang, kedua-dua mereka yang yakin akan mendapat untung segera bertindak memohon sembilan kad kredit dari bank berlainan bagi menampung kos pelaburan itu.

“Siapa yang tidak mahu RM3,000 sebulan, selain boleh membayar balik ansuran kad kredit, kami juga boleh dapat duit lebih.

“Namun tanpa diduga, saya hanya memperoleh RM200 sahaja sebulan pada tiga bulan pertama sebelum mengambil keputusan untuk berhenti daripada skim tersebut,” katanya kepada pemberita di Pejabat Timbalan Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Cawangan Johor Bahru, Michael Tay di sini semalam.

Poh Keong berkata, dia kini buntu memikirkan bagaimana untuk membayar balik hutang kad kredit, tambahan pula syarikat tersebut dakwanya kini diambil alih oleh pengurusan baru.

“Lebih teruk saya turut dibebankan dengan hutang pinjaman kereta dan rumah,” ceritanya lagi.

Dalam pada itu, Thorajoo berkata, nasibnya lebih malang apabila syarikat terbabit langsung tidak memberikannya mesin penapisan air mineral tersebut meskipun telah menandatangani perjanjian kontrak yang memaksanya mengeluarkan pelaburan lebih RM21,000.

“Nak cari mereka sudah tidak tahu di mana, kini kami terpaksa menanggung hutang. Saya menyesal tidak sudah dan saya harap pihak bank dapat bertolak ansur berhubung ansuran kad kredit,” katanya yang telah membuat laporan polis.

Sementara itu, Tay berkata, pihaknya akan membantu kedua-dua mangsa mendapatkan peguam bagi membela nasib mereka berhubung kejadian itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin semasa dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan sedang menyiasat lanjut.

Tiada ulasan: