Isnin, 16 Ogos 2010

Dinar: Umno Kelantan membelakangkan Mahathir

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: Sikap dua pemimpin Umno Kelantan yang menentang penggunaan Dinar dan Dirham dalam urusan jual beli seumpama membelakangkan sokongan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed yang telah menyokong sistem itu.

Sikap Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Dr Awang Adek Hussein, juga turut dilihat menelan ‘ludah’ bekas presidennya yang telah menyokong penggunaan mata wang tersebut pada tahun 2001.

(Gambar: Pandangan Dr Mahathir tentang dinar tidak dihormati oleh Umno Kelantan)

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, dalam kenyataannya memberitahu, Tun Mahathir telah menyokong penggunaan Dinar dan Dirham sewaktu merasmikan syiling kijang emas pada tahun tersebut.

“Saya cukup kesal dengan sikap memperlekehkan usaha kerajaan Kelantan tersebut oleh mereka. Lebih teruk lagi apabia Mustapa menyifatkan tindakan kerajaan Kelantan sebagai tindakan politik semata-mata.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada kedua-dua pemimpin Umno ini supaya bercakap untuk kepentingan rakyat Kelantan dan bukannya untuk kepentingan politik Umno semata-mata,” ujarnya.

Menurutnya, ia menggambarkan pemimpin Umno Kelantan yang semakin zahir di mata rakyat yang sering menyekat program dan tuntutan untuk mereka.

Sambungnya, rakyat Kelantan masih ingat ketika isu royalti minyak ditimbulkan tahun lepas, Mustapa adalah pemimpin yang menyatakan bahawa minyak tidak ada di perairan Kelantan.

“Hari ini, beliau juga orangnya yang tanpa segan dan malu mengagihkan wang ehsan sumbangan kerajaan Pusat yang datang dari hasil carigali minyak di perairan Kelantan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mewakili Pemuda PAS Negeri mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Kelantan yang telah berjaya melancarkan mata wang syariah emas dinar dan perak dirham pada 12 Ogos yang lalu.

Katanya, Kelantan telah menempa sejarah baru di samping menjulang kejayaan besar kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan ulama di dalam meneroka usaha-usaha membebaskan masyarakat dari cengkaman ekonomi kapitalis.

Tiada ulasan: