Khamis, 19 Ogos 2010

Dedah dalang pelacuran: Arjunan dakwa diugut

BERNAMA


Seorang anggota PKR, MS Arjunan hari ini membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan bunuh menerusi satu panggilan telefon, petang semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu di ibu pejabat polis daerah Brickfield di Kuala Lumpur, Arjunan berkata laporan polis itu dibuat kerana khuatir terjadi sebarang perkara yang tidak diingini terhadap diri dan anggota keluarganya.

Beliau mendakwa menerima panggilan berkenaan 3.39 petang semalam dari seorang lelaki berbangsa India yang tidak dikenali yang memaki serta mengugut untuk membunuhnya dan keluarganya.

Sabtu lalu, Arjunan membuat laporan polis terhadap Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahterahan Bandar, Datuk M Saravanan yang didakwanya mendalangi kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran dan gangsterisme di Brickfields.

Beliau mendakwa mempunyai bukti kukuh terhadap dakwaannya itu namun telah diserahkan kepada peguamnya untuk didedahkan setelah kes berkenaan dibawa ke mahkamah.

Sementara itu, Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata selagi Arjunan tidak mengemukakan bukti yang dimiliknya, selagi itu juga polis tidak dapat meneruskan siasatan.

Justeru, katanya tidak ada alasan untuk polis memanggil atau merekodkan keterangan timbalan menteri berkenaan.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan turut melahirkan rasa kesal dengan sikap Arjunan yang enggan memberi kerjasama dan menyembunyikan bukti berkenaan dakwaannya terhadap timbalan menteri itu.

Beliau berkata sikap Arjunan hanya akan melewatkan proses siasatan yang sedang dilakukan.


Tiada ulasan: