Jumaat, 13 Ogos 2010

Cubaan 3 warga Iran seludup dadah RM2.6j tumpas

BERITA HARIAN

SHAH ALAM: Polis Selangor mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis syabu seberat 10.5 kilogram (kg) bernilai RM2.6 juta oleh tiga warga Iran termasuk seorang wanita ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Selasa lalu.

Suspek ditahan anggota polis Bahagian Narkotik di KLIA selepas dilihat berkelakuan mencurigakan di kaunter tuntutan bagasi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata mereka ditahan pada jam 10.40 malam ketika polis membuat pemantauan terhadap penumpang yang tiba dengan penerbangan dari Doha, Qatar.

Dua lelaki terbabit masing-masing berumur 54 dan 29 tahun manakala wanita berkenaan berumur 35 tahun. Siasatan awal mendapati mereka mengenali antara satu sama lain dan suspek wanita itu dipercayai anak saudara kepada lelaki yang
berumur 54 tahun itu.

Siasatan awal mendapati suspek berusia 54 tahun itu sudah masuk ke negara sebanyak empat kali manakala dua lagi suspek itu baru pertama kali ke Malaysia selain dijangka pulang pada 17 Ogos ini, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Nordin berkata, pada mulanya suspek hampir berjaya melepasi pemeriksaan polis apabila mesin pengimbas di kaunter bagasi tidak dapat mengesan bahan yang mencurigakan di dalam beg yang dibawanya.

Beliau bagaimanapun, berkata anggota polis yang memeriksa beg berkenaan tidak berpuas hati dengan hasil imbasan lantas membuka beg itu dan menemui satu bungkusan syabu pada lapisan bawah beg terbabit.

Tiada ulasan: