Rabu, 11 Ogos 2010

Cadangan gaji minima dibatalkan – Subramaniam


1 pekerja-kilang1_250_250 Oleh G Vinod

SHAH ALAM: Keperluan untuk membayar gaji minima kepada para pekerja tidak mungkin diwartakan sebagai dasar nasional tetapi berdasarkan keperluan industri dan sektor, kata Menteri Sumber Manusia Dr S Subramaniam di sini hari ini.

Beliau berkata, beberapa negara yang telah melaksanakan gaji minima menumpukan kepada sektor atau wilayah berbanding peraturan gaji minima secara rambang.

"Setengahnya melaksanakan gaji minima berdasarkan keperluan-keperluan wilayah……jadi kita mengetengahkan perkara ini juga," kata Subramaniam.

Dengan pengumuman hari ini, tindakan menteri tersebut bercanggah dengan kenyataannya pada 5 Ogos lalu, di mana beliau berkata kerajaan akhirnya bersetuju untuk menimbang memperkenalkan dasar nasional gaji minima.

Para pekerja dari berbagai sektor tidak menikmati peningkatan gaji sejak beberapa lama. Hanya minggu lepas, Subramaniam berkata cadangan gaji minima meliputi semua sektor.

"Kami perlu mendapat maklum balas dari pelbagai pihak sebelum menyerahkan satu kertas kerja kepada kabinet. Kami bercadang membentangkan kertas kerja itu bulan ini," tambah beliau.

Beliau berkata, kementeriannya belum menetapkan tarikh untuk melaksanakan dasar itu "kerana kajiannya akan mengambil masa."

Gaji minima tidak cukup

Subramaniam bersetuju bahawa gaji minima sekarang ini yang diperolehi para pekerja ladang tidak mencukupi. "Sekarang ini, gaji minima RM300 untuk para pekerja ladang tidak cukup bagi mereka."

Buat masa ini, mereka memperoleh pendapatan sebanyak RM21.50 sehari. Bagaimanapun, para pekerja akan mendapat minima RM300 sebulan jika mereka tidak mampu bekerja kerana faktor luar seperti cuaca tidak baik.

Subramaniam menggesa Kesatuan Pekerja-Pekerja Ladang Kebangsaan (NUPW) dan Persatuan Ladang Pertanian Malaysia (Mapa) mengkaji semula siling gaji minima untuk para pekerja ladang.

"Saya berharap NUPW dan Mapa boleh menyerahkan cadangan mengenai perkara ini kepada kementerian dengan segera," kata Subramaniam.

Tiada ulasan: