Rabu, 18 Ogos 2010

Buang bayi: Kerajaan gagal sejahtera rakyat

Mohd Ali Hashim

JERAI: Jumlah 65 kes pembuangan bayi antara Januari hingga 16 Ogos lalu seperti mana dilaporkan adalah satu angka keruntuhan akhlak yang serius berlaku dalam masyarakat negara kini.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar mengulas mengenai isu pembuangan bayi yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Menurut beliau, beberapa faktor yang berkait rapat dalam kejadian itu harus diberi perhatian utama oleh kerajaan untuk mewujudkan suasana sejahtera kehidupan rakyat.

Katanya, ia harus dijadikan satu tindakan wajib dalam menghalang gejala itu daripada terus menjadi ketakutan kepada masyarakat.

"Jakim khususnya bersama pihak berwajib mesti tegas dalam memberi pendidikan dan ilmu agama serta kuliah kepada generasi muda dan remaja di mana saja mereka berada.

"Kuliah harus dipergiatkan. Pendidikan ilmu agama harus menjadi teras dan praktikal ilmu itu adalah wajib," katanya.

Beliau yang juga pendakwah bebas turut menyarankan tempat-tempak lepak antara lelaki dan perempuan yang belum berkahwin harus segera dipantau dan disekat.

Semua agensi sama ada kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan harus melibatkan diri bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menjauhi zina melalui kempen yang berterusan dan bukan berkala atau bermusim sahaja, katanya.

Pergaulan bebas adalah antara faktor yang mendorong berlakunya kehamilan luar nikah yang seterusnya kegiatan membuang bayi berleluasa.

"Undang-undang sekular yang dipraktikkan dalam negara juga menjerumuskan generasi muda ke lembah tersebut setelah sistem yang ada gagal untuk berfungsi bagi membentuk dan melahirkan mereka menjadi umat yang beragama serta takut kepada azab Allah," tambahnya lagi.

Firdaus juga berkata, sistem pemerintahan yang ada harus berpatah balik kepada hukum Islam terlebih dahulu sebelum undang-undang Islam dapat dilaksanakan dengan adil.

Sehubungan itu, katanya maka rakyat harus merebahkan Barisan Nasional yang ada setelah melihat kegagalan kerajaan untuk mendidik dan membentuk masyarakat.

Tambahnya, pelbagai bentuk jenayah yang berlaku membuktikan kerajaan yang ada gagal untuk mentadbir serta memberi kesejahteraan hidup kepada masyarakat.

Tiada ulasan: