Sabtu, 21 Ogos 2010

BN Perak Mahu Semua Parti Komponen Hormati Nasihat PM

BERNAMA

IPOH: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Sabtu mahu semua parti komponen BN Perak menghormati nasihat Perdana Menteri supaya menyelesaikan sebarang pertikaian yang berlaku secara musyawarah.

Pendekatan itu adalah jalan terbaik untuk memastikan keharmonian kaum berkekalan di negeri ini, katanya.

"Apabila ada sebarang kemusykilan yang melibatkan antara parti komponen terutamanya isu-isu sensitif yang mungkin akan mengundang pelbagai tafsiran atau masalah, jalan terbaik yang diamalkan oleh BN ialah pendekatan musyawarah," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah sukan negeri Perak 2009 dan insentif kepada kontinjen negeri yang berjaya dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2010.

Dr Zambry yang juga Menteri Besar Perak berkata perkara dan hal-hal yang sensitif tidak sewajarnya diperdebatkan secara terbuka sehingga boleh menggugat keharmonian kerana perbincangan adalah jalan penyelesaian terbaik dengan mengambil kira persekitaran, latar belakang dan sentimen kaum.

"Memang tidak salah untuk memperjuangkan nasib rakyat atau dalam konteks parti-parti tertentu membela nasib kaum masing-masing, tetapi ia perlu melihat kepada sensitiviti kaum lain," katanya.

Beliau mengulas nasihat yang diberikan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN kepada MCA berhubung isu ekuiti Bumiputera.

Pada majlis tersebut, seramai 135 atlet yang berjaya menyumbang pingat pada Sukma 2010 menerima insentif.

Tiada ulasan: