Selasa, 3 Ogos 2010

Bekas ADUN BN, pembantu mati dengan kesan tembakan

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd Noh, 64, dan pembantunya Siti Rohana Ismat, 43, ditemui mati dengan kesan tembakan ketika dalam perjalanan di lebuh raya dekat Sungai Buloh hari ini.

Kereta dipandu Abdul Aziz, wakil rakyat Umno-BN dari Selangor, dipercayai terlepas kawalan dan merempuh pembahagi lebuh raya pagi ini.

Polis juga menemui pistol .38 dalam kereta itu, dipercayai milik Abdul Aziz (gambar) yang merupakan bekas setiausaha politik kepada bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar.

Abdul Aziz merupakan wakil rakyat Permatang selama dua penggal dan digugurkan pada 2008.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar dalam Facebooknya memberitahu, siasatan awal menunjukkan kedua-dua mangsa ditembak di bahagian kepala.

Tembakan dipercayai datang dari dalam kereta yang mereka naiki.

“Siasatan juga mendapati tembakan dilepaskan dari bahagian dalam kenderaan yang dinaiki mangsa,” kata Khalid.

Beliau berkata wanita yang bersama dengan Abdul Aziz itu merupakan pembantu peribadinya dan siasatan lanjut masih dijalankan berhubung punca kejadian tersebut.

Katanya polis turut menemui sepucuk pistol dalam kereta Abdul Aziz.

Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh.


Tiada ulasan: